DR MASZLEE DISIASAT RASUAH KERANA BAKAL CALON MB JOHOR?
Dr Maszlee disiasat rasuah kerana bakal calon MB Johor?
Dakwaan kononnya Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik terkait isu rasuah timbul selepas DUN Johor dibubarkan dan mantan Menteri Pendidikan itu diura urakan akan diangkat sebagai calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagi Timbalan Pengerusi Negeri KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse, dakwaan seumpama itu sukar diterima memandangkan Dr Maszlee telah hampir tiga tahun meninggalkan jawatan Menteri Pendidikan. Mengapakah, katanya, siasatan tidak dilakukan lebih awal?
“Saya membaca berita mengenai Dr Maszlee sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terima rasuah ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan.
“Rakyat mempersoalkan, mengapa kes ini tidak timbul dahulu? Mengapa siasatan SPRM tiba-tiba muncul ditengah-tengah bahang PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi dan kebetulan nama Dr Maszlee Malik juga disebut-sebut kemungkinan sebagai calon PH untuk Menteri Besar Johor?
“Seolah-seolah terdapat campur tangan politik yang ingin mengacau fokus KEADILAN Johor, dan melakukan intimidasi politik ke atas Dr Maszlee Malik,” katanya.
Jimmy yang juga mantan ADUN Bukit Batu jelas tidak puas hati terhadap tindakan yang begitu pantas diambil ke atas wakil rakyat Pembangkang sedangkan tiada khabar berita mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang telah banyak laporan salahlaku dibuat ke atasnya.
“Amat mengecewakan, apabila kes yang melibatkan Azam Baki sehingga kini tidak pula disiasat, sebaliknya ahli politik daripada PH yang disiasat bermula dengan R Sivarasa dan yang terbaharu Dr Maszlee Malik.
“Namun, saya memuji sikap Dr Maszlee yang tenang mengalu-alukan siasatan dijalankan, inilah prinsip berani kerana benar dan saya cukup yakin siasatan ini sama sekali tidak akan melunturkan semangat KEADILAN Johor menghadapi PRN,” katanya lagi.