Timbalan Menteri dikecam petua ‘sentuhan fizikal lembut tetapi tegas’ untuk tegur isteri
PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff dikecam beberapa Ahli Parlimen pembangkang selepas memberi petua kepada pasangan suami isteri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Mereka mengecam Siti Zailah dalam klip video dua minit di Instagram yang menyarankan suami boleh menggunakan “sentuhan fizikal yang lembut tetapi tegas” untuk menegur isteri.
“Dalam kita nak menegur isteri seperti tidak tutup aurat atau melakukan perkara tak suka, maka suami beritahu dengan cara baik.
“Maka, dalam Islam membolehkan seorang suami untuk memberi satu tekanan sedikit pada isteri dengan pisahkan tempat tidur selama tiga hari supaya dia terasa bagaimana suami sangat tak suka perbuatannya.
“Sekiranya, nasihat tak dengar dan pisahkan tempat tidur juga tidak berubah, maka boleh memukul dengan cara sentuhan fizkal lembut yang mendidik dengan penuh kasih sayang yang tidak menyakitkan, tetapi menunjukkan ketegasan,” katanya dalam video itu.
Petua yang diberikan Siti Zailah itu dikritik Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Izzah berkata, “nasihat” Siti Zailah itu merugikan wanita dalam realiti dan keperluan semasa.
“Pandemik Covid-19 menyaksikan peningkatan kes penderaan domestik dengan 9,015 kes dilaporkan, kebanyakannya terhadap wanita,” katanya dalam catatan Twitter.
Yeoh berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob perlu meminta Siti Zailah mendemonstrasi cara lelaki menggunakan “sentuhan fizikal lembut tetapi tegas” untuk menegur isteri.
“Bahaya buat video dua minit seperti ini. Sentuhan fizikal lembut tapi tegas itu sangat subjektif.
“Tanya ‘team’ doktor, aktivis dan NGO yang mengendalikan kes keganasan rumah tangga setiap hari, adakah sesuai topik seperti ini dibincangkan melalui video dua minit,” katanya di Twitter.