Zii Jia tolak tawaran gaji RM1 juta
Oleh Helmi Talkah - Januari
25, 2022
helmi.talkah@bh
PEMAIN Badminton
Negara, Lee Zii Jia. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
KUALA LUMPUR:
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilaporkan memberikan tawaran gaji sebanyak
RM1 juta setahun kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam
usaha memujuknya untuk tidak meninggalkan badan induk itu.
Menurut sumber,
tawaran balas berkenaan dibuat ketika sesi rundingan bersama pemain berusia 23
tahun itu selepas dia menghantar surat peletakan jawatannya pada 11 Januari
lalu bagi bergerak secara profesional.
Katanya, ia pertama
kali dalam sejarah BAM mengemukakan tawaran yang cukup lumayan itu kepada
pemain di bawah naungannya.
"Datuk Lee Chong
Wei (bekas jaguh perseorangan lelaki negara) yang menyumbang pelbagai kejayaan
kepada negara ketika bergelar pemain pun tidak pernah mendapat tawaran
sedemikian.
"Ini membuktikan betapa BAM cukup sayang kepada Zii Jia dan
menghargai bakat yang dimilikinya. Zii Jia disifatkan sebagai aset penting
kepada BAM.
"Bagaimanapun,
tawaran itu masih tidak setanding dengan apa yang ditawarkan kepada Zii Jia
sekiranya dia bergerak secara profesional. BAM sebagai persatuan turut
mempunyai kekangan dan tidak boleh memberi tawaran di luar kemampuan tetapi
sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan Zii Jia kekal.
"Namun, pemain itu kekal dengan pendiriannya dan tetap mahu
keluar daripada BAM," katanya.
Jika
juara Seluruh England 2021 itu menerima tawaran BAM, dia akan dibayar gaji
sebanyak RM83,333 sebulan.
Bayaran
gaji itu tidak termasuk elaun lain yang diberikan BAM kepada barisan pemainnya
selain hadiah wang kemenangan jika muncul juara mana-mana kejohanan 100 peratus
menjadi milik pemain bersama tambahan bonus yang diberikan badan induk itu.
Difahamkan,
Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia menerima tawaran lumayan
daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan yang didakwa menjadi
faktor utama dia mahu meninggalkan BAM.
Zii
Jia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun
dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak
RM11.718 juta.
Jumaat
lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana
kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan
keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara
profesional.