Terlerai akhirnya DUN Johor. Sedih dan kecewa aku rasakan. Apakan daya. Harapkan kayangan fahami denyut nadi marhaen umpama mengharap hujan di musim kemarau.
Tiada keperluan pun untuk PRN ini. Kedudukan UMNO sebagai parti pemerintah tidak dicabar oleh sesiapa pun. PH dan PN sama pendapat pada kali untuk menolak PRN demi kepentingan rakyat.
Tapi begitulah. UMNO bukanlah parti yang ambil tahu akan kesusahan rakyat. Mereka cuma mahu kuasa total. Mereka mahu kuasai ⅔ supaya mudah gubal undang-undang sesuai kemahuan mereka.
Rujukan UMNO adalah PRN Melaka dan Sarawak. Dalam dua PRN ini, UMNO dan GPS masing-masing menang besar. Sebab itu UMNO Johor berpendapat mereka juga boleh menang besar di Johor.
Betulkah?
Kemungkinan itu ada. Di Melaka dan Sarawak, protes rakyat yang enggan mengundi kerana muak dengan sikap ahli politik telah memberikan UMNO dan GPS peluang untuk menang.
Selain itu, ramai pengundi yang tinggal di luar yang enggan pulang mengundi. Mereka kebanyakannya pengundi atas pagar, yang benci UMNO tapi telah hilang keyakinan terhadap PH.
Jika perkara bersama terjadi di Johor, sudah pasti UMNO akan menang besar juga. Tak dapat aku bayangkan kemusnahan yang akan terjadi terhadap Johor jika UMNO berkuasa penuh.
Tapi ada perbezaan antara Johor dengan Melaka dan Sarawak. Orang Johor tak ramai yang merantau dan menetap di negeri lain. Ada tapi tak ramai. Kalau merantau pun masih dalam negeri seperti JB misalnya.
Jika cuti diumumkan pada PRN, maka tidak ada masalah untuk mereka pulang ke kampung dan mengundi. Itupun jika mereka masih ada hajat untuk melihat perubahan.
Masalahnya semakin ramai membenci politik. PH sendiri tidak berusaha kuat untuk menarik minat pengundi atas pagar. Tambah dengan kenyataan DS Anwar berkenaan pengeluaran KWSP baru-baru ini langsung tidak membantu.
Memburukkan lagi keadaan, jentera siber PH yang tidak tersusun, pejuangan menentang berita palsu dan fitnah yang selalu jadi senjata UMNO akan begitu payah untuk dilaksanakan.
Tanpa undi pengundi atas pagar, PH tak mungkin dapat menewaskan UMNO di Johor. Lagi dengan keputusan PH Johor mahu bekerjasama dengan Muda, mungkin pengundi PH sendiri tawar hati.
Terlalu awal untuk menjangka mood orang Johor. Tapi berdasarkan situasi sebelum dewan dibubar, rasanya tidak ada masalah untuk UMNO menang. Cuma mungkin tak sebesar di Melaka.
Tapi kes Azam Baki ada sedikit sebanyak memberi impak terhadap UMNO. Kalau PH Johor pandai olah isu ini, berkata adankan dengan isu banjir, peluang untuk PH atasi UMNO masih ada.
Politik Malaysia agak berlainan sekarang. Minit minit terakhir pun masih boleh berlaku swing jika isu yang dimainkan itu mengena. Sebab itu sangat perlu berhati-hati.
Waktu begini, PH Johor terutama DAP jangan pula keluarkan sebarang kenyataan yang sensitif. Usah sentuh soal bangsa, agama dan istana. Kerana walaupun kenyataan itu betul, pihak lawan pasti akan manipulasi dan itu boleh pengaruhi pengundi atas pagar.
Apa pun, kita berdoalah semoga pintu hati rakyat Johor terbuka untuk menolak penunggang bangsa dan agama serta pengkhianat daripada mentadbir negeri ini.