Selepas kesihatan bapa merosot, Dr Asri gesa KKM tangguh beri dos penggalak

 

Selepas berkongsi keadaan kesihatan bapanya yang semakin merosot Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangguh pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 dibimbangi mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan.

Bapanya yang mengalami muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima suntikan dos penggalak.

Malah, seorang doktor menyatakan kepadanya bahawa bapanya sekali lagi diserang angin ahmar pada bahagian sensitif di kepalanya.

Beliau berkata, penangguhan berkenaan perlu mengambil kira satu kenyataan yang jelas terhadap siapa atau golongan mana yang sebenarnya tidak wajar mengambil dos berkenaan.

“Saya ingin mencadangkan supaya KKM menangguhkan pemberian dos ketiga sehingga dikeluarkan dengan jelas siapa yang tidak wajar mengambil dos ketiga ini kerana dibimbangkan kesan yang serius.

“Saya tidak menafikan peranan vaksin sebelum ini yang sudah mengurangkan risiko Covid-19, tapi saya bercakap apa yang sedang dialami oleh ramai pada dos yang ketiga ini.

“Penafian atau ‘state of denial’ tidak berfaedah jika masyarakat melihat realiti sebenar di hadapan mata mereka dan biarlah ada panduan jelas siapa yang layak dan siapa tidak layak ambil dos ketiga ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian, ramai juga yang datang berjumpa dengannya menceritakan kesan yang mereka alami.

“Ada mendakwa kematian berlaku mengejut selepas dos ketiga itu diambil dan oleh kerana mereka ini adalah orang kampung, mereka tiada saluran aduan rasmi untuk diajukan.

Katanya, sudah banyak aduan mengenai kesan yang serius selepas pengambilan dos ketiga vaksin Covid-19.

“Jika dinilai, ia bukan kisah dongeng tapi memang ramai yang mengalami atau melihat sahabat atau ahli keluarga alami dan tidak guna untuk menafikan.

“Memang benar, majoriti yang ambil tiada masalah malah saya dah ambil dos ketiga pun tiada masalah. Ibu saya pun ambil, tiada masalah. Alhamdulillah,” katanya.