PRN Johor kerana ketamakan pemimpin Umno
Alasan pemimpin Umno bahawa parti itu bergantung kepada ihsan Pembangkang untuk mentadbir Kerajaan Negeri Johor tidak masuk akal sama sekali.
Sedangkan menurut pemerhati politik, alasan sebenar mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana Umno ingin memerintah sendirian untuk memudahkan parti iru membuat apa sahaja keputusan tanpa disemak imbang oleh pembangkang di DUN Johor.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Damansara, Dzulhilmi Zainol, tiada keperluan mendesak pentadbiran bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad untuk mengadakan PRN ketika mana Pembangkang Pakatan Harapan telah memberi ikrar menjanjikan kestabilan politik sehingga Pilihan Raya Umum (PRU).
“Ahli politik Umno harus sedar rakyat masih lagi bergelut dan dibebani pelbagai isu yang melanda mereka susulan penderitaan pasca pandemik Covid-19 yang masih pada tahap tidak memuaskan, serta musibah banjir baru baru ini.
“Secara terang lagi bersuluh, PRN Johor nekad diadakan disebabkan masalah dalaman Umno yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan, sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa dan kesusahan rakyat demi kuasa yang diidamkan,” katanya.
Menurut beliau lagi, ketidakstabilan yang diperkatakan oleh Umno Johor lebih kepada intrig dalaman parti itu sendiri antara kumpulan Presiden Umno dan kumpulan Perdana menteri, dan tiada kena mengena dengan pemerintahan Kerajaan Negeri.
Justeru, Dzulhilmi berharap rakyat Johor akan menghukum Umno yang gila kuasa dengan menewaskan mereka di bumi Johor pada PRN bulan hadapan.
“Saya berharap rakyat Johor memutuskan pilihan yang tepat pada PRN kali ini demi kestabilan, pembangunan dan jaminan ekonomi yang memberangsangkan kerana modus operandi sebegini bukan pertama kali dilakukan Umno selepas apa yang terjadi di Melaka,” katanya.
PRN Johor, menurut pemerhati politik, dilakukan atas desakan kumpulan pro Presiden Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan PM Ismail Sabri Yaakob segera membubarkan Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Umum.
Bagaimanapun Ismail yang baru beberapa bulan menikmati kerusi empuk PM didakwa tidak mahu melakukannya.
Jadi menuju ke arah PRU, maka Umno memutuskan untuk mengadakan PRN di mana mana negeri yang dikuasai mereka sebagai momentum ke arah pilihan raya peringkat Persekutuan.