PLOT TWIST KISAH BUDAK CURI DAN KENA SIRAM

 

Plot twist. Budak yang mencuri tabung masjid tu rupanya memang bermasalah dan pengguna syabu. Datuknya sendiri yang suruh AJK surau lapor polis.

Ok. Aku akui terkhilaf bersimpati kepada remaja itu berdasarkan kenyataan peguamnya. Tapi itu tak mengubah ulasan aku dalam posting terdahulu.

Ada dua perkara yang aku tekankan. Pertama, AJK masjid yang ambil tindakan sendiri. Tangkap dan serahkan kepada polis. Itu yang sepatutnya. Bukan kerjakan dahulu.

Ada yang kata budak itu sedang khayal sebab itu si imam siram air. Tapi tetap tak boleh diterima. Apa lagi bila dirakam dan diviralkan. Itu bukan caranya.

Tangkap, serahkan kepada polis dan biar polis yang uruskan. Kalau budak itu tak dibelasah dan video itu tak viral, kes ini takkan jadi perbualan hangat.

Kedua, point yang paling penting, adalah cara orang kita berhadapan dengan pencuri. Ini yang aku nak sangat ketengahkan sebenarnya.

Sebab yang sering dan sentiasa berlaku, kalau yang berbuat salah itu orang besar, orang terkenal, kita selalu disuruh jangan jatuhkan hukum sendiri dan jangan mengata aib orang.

Tak kiralah mencuri ke, rasuah ke, seleweng ke, langgar SOP, langgar PKP atau macam-macam lagi. Tak kiralah pemimpin atau artis. Sama sahaja. Kalau orang terkenal buat salah, jangan jadi hakim.

Tapi kalau orang miskin, orang yang tak terkenal, rakyat biasa, bukan setakat dikutuk, bahkan turut dibelasah. Itu yang aku rasa perlu diperbetulkan.

Perompak, apa juga tarafnya, tetap perompak. Apatah lagi yang telah disabitkan oleh mahkamah. Dua mahkamah pulak tu yang sabitkan.

Dan dalam kes budak ini, duit tak sempat diambil pun. Sedangkan ada kes ke atas orang besar bila mana duit dikembalikan maka tuduhan digugurkan.

Itu mesej terbesar yang mahu aku ketengahkan. Sebab aku jadi risau melihat masyarakat ini. Pada satu masa, seolahnya perbuatan seleweng, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya bukan sejenis jenayah. Semua buat tak endah.

Tapi pada satu masa yang lain, mencuri itu tampak besar salahnya seperti membunuh jiwa yang tak berdosa pula. Apakah rasuah dan seleweng sudah jadi norma hidup rakyat negara ini? Atau kita marah cuma kalau jumlah wang dicuri tak begitu banyak?

Iyalah... Kalau dah sampai puluh juta, ratus juta, bilion ringgit, nak kira nombor kosong pun pening. Nak marah macamana. Ye tak?

Aku benci semua jenis pencuri, kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan. Semua aku benci kecuali pencuri hati. Cuma aku lebih benci pemimpin yang mencuri berbanding marhaen.

Kerana pemimpin itu telah sedia besar gajinya. Telah banyak duit cukai kita yang ditelan. Masih lagi nak curi wang negara? Kenapa tamak sangat?

Raja Gelap