Pencarum KWSP kekurangan simpanan, kaji sistem pencen sosial
Kerajaan BN diminta mengkaji semula dasar pesaraan negara ini apabila pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dibenar mengeluarkan berkali kali simpanan mereka sama ada sebelum atau sewaktu pandemik Covid 19.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, tiba masanya kerajaan memperkenalkan pendekatan pencen sosial berikutan simpanan pencarum KWSP yang terlalu rendah ketika ini dan ada yang hanya sekitar RM10,000 dengan usia menghampiri pesaraan.
“Kerajaan wajar mengkaji pelaksanaan pencen sosial yang dibiayai oleh cukai dan belanjawan tahunan semasa kepada golongan rentan B40 bersasar yang berumur 65 dan ke atas termasuk golongan yang tidak pernah mencarum KWSP.
“Kajian yang teliti tentang mekanisma untuk menentukan kelayakan dan kadar bayaran pencen sosial amat diperlukan. Contohnya di Australia, syarat permohonan pencen sosial termasuk penilaian aset dimiliki individu atau pasangan, ujian pendapatan kewangan individual atau pasangan, umur dan tempoh menetap di dalam negara.
“Kadar pencen sosial akan ditentukan bergantung kepada nilai rumah dimiliki oleh pemohon dan jumlah pendapatan daripada semua sumber. Langkah langkah ini adalah untuk mencegah penyalahgunaan pencen sosial,” katanya.
Selain itu, Loh berpendapat kerajaan juga perlu menggalakkan industri pekerjaan swasta dan awam mewujudkan perjawatan kerja sambilan untuk meningkatkan penglibatan pekerja berusia.
Begitu juga usia persaraan perlu dikaji semula untuk dilanjutkan daripada 60 kepada 65 tahun.
“Kerajaan wajar mengkaji dan melaksanakan beberapa pembaharuan dasar yang disyorkan oleh Bank Dunia dalam laporan kajian “ A Silver Lining: Productive and Inclusive Aging for Malaysia”.
“Bank Dunia mencadangkan umur persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun secara berperingkat untuk meningkatkan simpanan KWSP pencarum dan secara tidak langsung meningkatkan KDNK 0.3% setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Loh mengingatkan agar pemimpin BN jangan terlalu mempolitikkan isu pengeluaran KWSP dan menampilkan diri mereka kononnya sebagai kuasa pendesak menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 bagi mendapat keuntungan politik.
“Ramai rakyat Malaysia terkesan dengan pandemik dan banjir besar kini memerlukan bantuan kewangan demi kelangsungan kehidupan. Mereka berharap dibenarkan mengeluarkan simpanan KWSP sekali lagi.
“Pada masa sama, pemimpin-pemimpin Umno menangguk di air keruh mendesak Perdana Menteri untuk membenarkan pengeluaran KWSP tanpa membentangkan cadangan penyelesaian yang bersifat jangka panjang. Langkah ini sangat tidak bertanggungjawab dan bersifat populis
“Justeru itu, saya menggesa menteri-menteri dan pemimpin Umno agar kurang berpolitik dan mengutamakan kelangsungan kehidupan rakyat sekarang dan tempoh jangka masa panjang apabila Malaysia menjadi negara tua menjelang 2030,” katanya lagi.
Laporan Bank Dunia pada November 2020 lalu mendedahkan hampir 75% daripada pencarum KWSP mempunyai baki akaun di bawah RM 250,000 pada usia 54 tahun dan itu amat membimbangkan sekiranya pengeluaran dibenarkan dilakukan berkali kali.