Kenyataan akhbar di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 JANUARI 2022.
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 ditetapkan pada 16 hingga 19 Mac depan.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perhimpunan itu akan diadakan secara bersemuka.
“Kesemua 14 orang perwakilan setiap bahagian akan dijemput untuk menghadiri PAU 2021 dan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid. Kesemua lima orang perwakilan bagi setiap sayap juga akan menghadirinya kali ini.
“Walaupun demikian, SOP tetap akan dipenuhi daripada segi penjarakan, pelitup muka, penggunaan aplikasi Mysejahtera, sanitizer dan lain-lain,” kata Ahmad Maslan dalam satu kenyataan malam tadi.
PAU 2021 dimulakan dengan perasmian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri diadakan pada 16 dan 17 Mac, dan ucapan Dasar Presiden pada 18 Mac oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perhimpunan Agung UMNO pada 19 Mac.
Pada 25 Disember lepas, Ahmad mengumumkan PAU 2021 yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 15 Januari ini ditangguhkan susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.
Ahmad berkata, mesyuarat juga menegaskan sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah kekal dan perlu terus dimantapkan
“Selain itu, MT UMNO turut memutuskan segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti baik untuk menghadapi pengundi berumur 18 tahun dan pengundi baharu.
“Mesyuarat juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua ahli dna pemimpin UMNO di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir,” katanya. – MG.