Kemungkinan PRN Johor diadakan dalam waktu terdekat ini seperti sudah tidak dapat dielakkan lagi.
Selain UMNO sendiri begitu mahukan PRN tersebut diadakan kerana yakin mandat lebih meyakinkan boleh diperolehi, kenyataan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang menyerahkan kepada kepimpinan kerajaan negeri Johor untuk memutuskannya, seterusnya mengadap Sultan Johor untuk mendapatkan perkenan, adalah gambaran semuanya hanya menunggu detik dan ketika saja untuk dijadikan kenyataan.
Pimpinan UMNO juga difahamkan amat positif terhadap keperluan mengadakan PRN di negeri itu kerana selepas kejayaan cemerlang di Melaka, kejayaan yang sama juga mampu dicipta di Johor.
Sementara banyak pihak daripada pelbagai aliran politik rata-ratanya yakin arus kemenangan ternampak lebih memihak kepada BN, persoalan lain ialah apakah nasib Bersatu dan Mahiaddin Md Yasin selepas PRN itu nanti?
Johor bukan saja tapak politik Mahiaddin di mana beliau adalah Ahli Parlimen Pagoh dan Adun Gambir sekarang ini, malah bekas Perdana Menteri itu juga ialah Pengerusi Bersatu negeri berkenaan.
Untuk itu, jika PRN diadakan, sama ada Mahiaddin berani mempertahankan kerusinya atau tidak bukan lagi persoalan utama lantaran yang lebih penting ialah sejauh mana Bersatu mampu mempertahankankan 11 kerusi yang sedang dimilikinya sekarang?
Seterusnya, jika gagal mempertahankan kemenangan sedia ada, lebih buruk andai hilang semua 11 kerusi itu, apakah pula nasib politik Mahiaddin dan Bersatu dalam PRU15 akan datang?
Semua itu akan menjadi perhatian utama, malah adalah benar bahawa PRN Johor diadakan, selain untuk mendapatkan mandat rakyat yang lebih jelas, lebih penting lagi matlamatnya ialah untuk membunuh masa depan Bersatu.
Kiranya Bersatu kalah teruk, ditambah jika Mahiaddin sendiri kalau berani bertanding, turut kecundang di DUN Gambir, tentulah ia memberi gambaran yang gelap buat PN dalam PRU15 akan datang.
Makna kata, PRN Johor itu nanti bakal menunjukkan laluan ke kuburan yang lebih awal buat Bersatu, Mahiaddin dan PN.
Dalam konteks berkaitan, tidak mustahil kekalahan PN dalam PRN Johor nanti akan turut membuatkan Pas meninggalkan gabungan tersebut sebelum tibanya tarikh PRU15 diadakan.
Atau setidak-tidaknya Pas akan bertanding sendirian dengan menggunakan logo bulannya dalam PRU15 akan datang dan tidak lagi memakai lambang Perikatan Nasional sebagai suatu perkongsian sedia adanya dengan Bersatu.
Maka itu, daripada satu sudut untuk melihat Bersatu yang di dalamnya penuh dengan watak-watak pengkhianat dapat ditunjukkan jalan mati yang lebih cepat iaitu sebelum PRU15 lagi, kebaikan perlunya PRN Johor diadakan lebih awal tidaklah harus ditolak begitu saja. – ShahbudinHusin 21/01/2022.