Ops selamat 17 Tahun Baru Cina: Polis dilengkapi peralatan canggih perangkap had laju dari dalam kereta

 


Ops selamat 17 Tahun Baru Cina: Polis dilengkapi peralatan canggih perangkap had laju dari dalam kereta


Ops Selamat 17 PDRM yang diumumkan bakal berlangsung bersempena perayaan Tahun Baru Cina 2022 akan membawakan beberapa pembaharuan. Buat anda yang ingin pulang beraya, anda perlu ambil tahu tentang hal ini.

Anda mungkin takkan nampak lagi anggota polis berada di bawah jejambat di belakang kamera perangkap had laju kerana mereka sudahpun dilengkapi sistem radar di dalam kenderaan untuk mencari pemandu yang melebih had laju. Selain sistem radar untuk mengesan pesalah yang pandu laju, mereka turut dilengkapi sistem Intelligent Compount Payment System (iCOPS) untuk mengenal pasti nombor pendaftaran, kenderaan klon, ataupun orang yang ada waran tangkap ke atasnya.

Ops Selamat 17 Tahun Baru Cina dilaporkan berlangsung antara 28 Januari hingga 6 Februari 2022 dengan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”.

Tentang jumlah trafik di atas jalan raya, pihak PLUS menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan menggunakan sistem lebuh raya mereka sepanjang musim perayaan ini. Ia adalah peningkatan sebanyak 17.4% berbanding hari biasa 1.4 juta. Tarikh-tarikh kemuncak kesesakan jalan raya dijangkakan pada 28 dan 29 Januari serta 2 dan 5 Februari.

Lagi tentang PLUS, sekiranya anda ingin manfaatkan Lorong RFID yang baharu saja dibuka, anda bolehlah beli pelekat RFID pada harga RM35 di saluran dalam talian ataupun di pusat-pusat pemasangan berhampiran anda.