MUDA didakwa daftarkan ahli tanpa kebenaran pemilik nama

 Panas! MUDA didakwa daftarkan ahli tanpa kebenaran pemilik nama


Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) yang baru didaftarkan dituduh mendaftarkan ahli tanpa kebenaran pemilik nama.

Bagaimanapun, parti berasaskan belia itu menafikan memalsukan keahlian, sebaliknya berkata ia adalah masalah yang kemungkinan timbul akibat penyalahgunaan proses pendaftarannya yang ‘mudah’ ketika ini.

Isu itu timbul selepas ahli PKR, Bong Jenn Fonng, menerima e-mel daripada Muda Sabtu lalu, mengatakan bahawa keahlian partinya telah diluluskan walaupun tidak pernah membuat permohonan.

“Agak mengejutkan apabila melihat e-mel itu kerana saya tidak pernah menghubungi atau mendekati mana-mana ahli Muda.

“Saya tidak pernah mengetahui tentang orang permohonan mereka dan saya tidak pasti bagaimana mereka mendapat butiran peribadi saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Bong mempersoalkan sama ada parti itu mendaftarkan ahli tanpa persetujuan untuk menambah bilangan keahlian.

Dia berkata bilangan keahlian Muda menunjukkan lebih 30,000 orang telah menyertai parti itu.

Bong tidak memegang sebarang jawatan parti tetapi kadangkala menulis ulasan untuk akhbar harian berbahasa Cina tempatan.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung Muda Amira Aisya mengakui terdapat kelemahan dalam proses pendaftaran keahlian tetapi menafikan sebarang niat jahat parti.

Amira berkata pada masa ini proses pendaftaran adalah sangat mudah, menyebabkan kemungkinan ia boleh disalahgunakan untuk mendaftar orang tanpa kebenaran.

“Masalah seperti ini berlaku pada semua parti, termasuk yang sudah mapan. Apa yang penting ialah untuk perbaiki secepat mungkin.

“Kami akan menghantar satu lagi e-mel kepada semua orang dalam senarai kami untuk mendapatkan persetujuan rasmi mereka. Kami akan keluarkan nama mereka yang tidak bersetuju daripada senarai,” katanya.

Amira berkata parti itu akan mengemas kini nombor keahlian sebenar sebaik sahaja ia mengesahkan kesilapan, dan memberi jaminan bahawa mereka tidak akan memalsukan angka.

“Tidak kira sama ada terdapat perubahan ketara pada jumlah itu, kami tidak akan melaraskan nombor tersebut untuk memperdayakan orang ramai.

“Kami sentiasa menyokong ketelusan dan ini termasuk jumlah keahlian kami,” katanya.

Muda diasaskan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang pernah menjadi menteri belia dan sukan selama 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Parti itu terpaksa menunggu lama sebelum didaftarkan, berikutan bantahan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Bagaimanapun, parti itu memenangi cabaran undang-undang terhadap kerajaan Disember lalu, selepas itu kementerian terpaksa mendaftarkan mereka sebagai parti.

Muda sebelum ini cuba bertanding di bawah Pakatan Harapan semasa pilihan raya negeri (PRN) Melaka tetapi menolak keputusan PKR dan Amanah meletakkan dua calon yang sebelum itu lompat dari parti Umno.

Muda kini menjalin pakatan dengan Warisan, dan turut dikaitkan dengan Pejuang yang diketuai bekas mentor Syed Saddiq, Dr Mahathir Mohamad.