Pemberian pinjaman didakwa
tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong yang kini muflis menimbulkan
tanda tanya mengenai kawal selia institusi kewangan Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Pasir
Gudang, Hassan Abdul Karim, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz
perlu memberi penjelasan segera berkenaan skandal terbaharu tersebut yang
menyebabkan kerugian berbilion ringgit dialami bank bank terbabit.
Lebih merumitkan, katanya, tiga
bank besar yang memberi pinjaman tersebut pula dikuasai oleh dana dana amanah
dan pencen negara di bawah Kerajaan Persekutuan.
"Saya ingin mendesak
Menteri Kewangan Malaysia supaya menjawab satu isu besar kewangan yang mungkin
akan mengulang semula Skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) di Hong Kong.
"Saya ingin jawapan
mengapakah PNB, Khazanah dan KWSP telah memberi pinjaman kepada sebuah syarikat
perjudian di Hong Kong yang bernama Genting Hong Kong yang kini telah
diisytihar muflis?
"Perkara ini telah
dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menerusi kenyataan medianya
bertarikh hari ini 27 Januari 2022," katanya.
Menurut beliau, isu yang
dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia perlu dijawab oleh Menteri
Kewangan pada kadar segera dan tidak boleh dibiarkan pelbagai spekulasi negatif
timbul dalam kalangan rakyat mahu pun institusi kewangan.
Tiga buah bank Malaysia yang
memberi pinjaman ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad
dan RHB Bank Berhad dengan jumlah pinjaman AS$600 juta atau RM2.51 bilion.
Menurut Hassan, sekiranya isu
tersebut tidak ditangani dengan baik tidak mustahil ia akan mengulangi skandal
BMF lebih 30 tahun lalu apabila Bank Bumiputera menghadapi masalah kewangan akibat
pembiayaan urusniaga meragukan di Hong Kong.
Tambah Hassan, hari ini tidak
wujud lagi bank yang bernama Bank Bumiputera. Kata beliau, hal yang paling
membimbangkan kali ini kerana skandal berkenaan membabitkan PNB, Khazanah dan
KWSP yang memiliki saham terbesar dalam ketiga-tiga bank tersebut.
"Sebagai Ahli Parlimen
Malaysia, saya berpendirian yang sama dengan Ketua Pembangkang mempersoalkan
satu pertanyaan kepada Menteri Kewangan yang pernah terlibat dengan sektor
perbankan, iaitu bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada sebuah syarikat
perjudian boleh diberi dengan sebegitu mudah?
"Menteri Kewangan telah
memberitahu Parlimen bahawa kerajaan terpaksa menggunakan wang amanah yang
tersimpan di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM5 bilion untuk
membeli vaksin melawan Covid-19, kerana atas alasan Kerajaan tidak ada wang.
"Tetapi dalam isu pinjaman
kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong, bagaimana boleh kerajaan yang
bertanggungjawab menjaga amanah rakyat di dalam PNB, Khazanah dan KWSP
membenarkan tiga bank itu memberi pinjaman kepada sebuah syarikat yang kini
muflis di Hong Kong?" tanyanya.
Beliau juga mahu tahu dari
Menteri Kewangan bagaimanakah pinjaman tanpa jaminan sebanyak RM2.51 bilion itu
akan dibayar balik oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis?
Dakwa Hassan, kemungkinan
terdapat kecuaian dan pengabaian peraturan dalam urusan pemberian pinjaman
berkenaan yang perlu dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Kewangan.
"Saya melihat ada isu
kecuaian dalam perkara ini. Bukan sahaja tiga buah bank Malaysia tersebut cuai
dan abai, tetapi juga Menteri Kewangan yang diberi amanah untuk menjaga
kepentingan negara dan rakyat juga cuai dan abai serta tidak berhemah
"Saya khuatir pinjaman
tidak berjamin kepada sebuah syarikat perjudian di Hong Kong yang dimiliki ahli
perniagaan Malaysia itu boleh mengheret tiga buah bank utama mengalamai
kerugian berbilion ringgit dan seterusnya kepentingan negara dan rakyat di
dalam PNB, Khazanah dan KWSP ikut terjejas," katanya lagi.