Adam Adli disiasat berkait himpunan #TangkapAzamBaki Sabtu ini

 



Adam antara individu selain Pemuda PKR Perak dan wakil MUDA Damansara yang berkongsi poster menyerupai Azam dengan tertera perkataan “Tangkap Azam Baki” yang tular di media sosial.

PETALING JAYA: Polis Dang Wangi akan menyiasat aktivis pelajar Adam Adli esok berhubung perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dilaporkan akan diadakan Sabtu ini.

Ini berikutan terdapat laporan bahawa satu perhimpunan diadakan di ibu kota menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki meletakkan jawatan.

Walau bagaimanapun, belum ada kepastian siapakah penganjur perhimpunan itu yang dikatakan berlangsung di Sogo, Kuala Lumpur.

Adam antara individu selain Pemuda PKR Perak dan wakil MUDA Damansara yang berkongsi poster menyerupai Azam dengan tertera perkataan “Tangkap Azam Baki” yang tular di media sosial.

Poster itu juga turut disertakan seruan “Reform SPRM” dan tanda pagar #TangkapAzamBaki.

Susulan itu, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki akan mengadakan sidang media di hadapan Balai Polis Dang Wangi pada jam 3 petang esok.

Isnin lalu, sekumpulan ahli Pemuda PKR mengadakan konvoi protes di Putrajaya menggesa Azam berundur.

Beberapa pemimpin belia dipanggil polis berikutan kejadian itu. Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, yang berada di lokasi untuk menyaksikan penyerahan memorandum kepada SPRM, turut dipanggil polis.