Banjir terburuk yang melanda Selangor mendedahkan betapa lembabnya agensi Kerajaan Persekutuan menghulurkan bantuan.
Biar pun Perdana Menteri Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan pasukan keselamatan menggunakan aset
milik mereka untuk menyelamatkan rakyat atau membekalkan makanan kepada mangsa
banjir, namun tidak banyak operasi penyelamatan yang dibuat menggunakan aset
berkenaan dalam tempoh 48 jam.
Malah di kawasan Sri Muda, Shah
Alam yang paling teruk ditenggelami banjir, sehingga 2 hari malapetaka bantuan dari pasukan keselamatan masih tidak tiba.
Bantuan hanya diberikan melalui aset Kerajaan Negeri Selangor yang terbatas. Malah tinjauan Exco dan sukarelawan Selangor beberapa kali ke kawasan penduduk terperangkap, sama ada di sekolah atau tingkat atas bangunan mendapati mereka tidak diberi makanan oleh pasukan bantuan Kerajaan Persekutuan, sementara menunggu masa dikeluarkan ke pusat pemindahan.
Semalam, tular video mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan yang tidak berpuas hati kerana bantuan peralatan peribadi dan makanan lambat tiba dari agesi Persekutuan.
Mangsa banjir mempersoalkan kelewatan bantuan
"Kami mengharap bantuan
dari dermawan, kerajaan di mana? Apa tanggungjawab anda?
"Kami memilih anda untuk
menjaga keselamatan kami, nyawa kami. Itu yang utama. Kami ditimpa bencana. 3 hari di sini. Kami hanya dapat bantuan dari dermawan. Tolong. Mana Majlis Keselamatan Negara?
"Mana Jabatan Kebajikan Masyarakat? Tolong. Di sini saya nampak anggota polis. Terima kasih polis. Anggota bomba. Terima kasih. Anggota Rela. Terima kasih dan lain lain sukarelawan," kata seorang lelaki di hadapan mangsa banjir dalam klip video berdurasi 44 saat itu.
Manakala netizen yang mempunyai keluarga yang 'tersadai' di tingkat atas rumah atau bangunan tinggi terus mengecam pentadbiran Ismail Sabri yang lembab.
Dalam tinjauan Exco Selangor, Ir Izham Hashim ke kawasan Seri Muda pula amat mengejutkan kerana mendapati jumlah mangsa banjir yang terperangkap mencecah ribuan orang.
"Alangkah terkejutnya saya
apabila meninjau di dalam taman berkenaan bahawa bukan setakat ratusan malah
mungkin ribuan lagi yang “stranded” dan kelaparan.
"Tanpa bekalan air dan
elektrik tentu amat sukar kehidupan mereka tambahan pula jikalau ada yang
sakit, yang nak bersalin atau ada anak kecil,” kata beliau.
Malangnya usaha untuk
mengeluarkan mangsa, kata Izham, sukar dilakukan kerana bot yang kurang sesuai dan kerap tersangkut di bumbung kereta, serta operasi waktu malam yang merbahaya kerana kawasan berkenaan gelap gelita.