Wartawan jadi ‘mata dan telinga’ Najib dedah kisah dalaman kejatuhan BN


Tindakan tegas polis terhadap media dan peserta himpunan Bersih pada 2012 mencetuskan bantahan awam, tetapi Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak tidak tahu mengenai sentimen negatif orang ramai. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas wartawan, Romen Bose, yang pernah menjadi konsultan komunikasi politik Najib Razak, kini tampil dengan sebuah buku mendedahkan kisah dalaman di sebalik kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada PRU14, walaupun akur, “saya sebenarnya tidak mahu menulisnya”.

“Selepas melihat apa yang berlaku sejak dua atau tiga tahun lalu, saya rasa penting untuk mencatatkan apa yang sebenarnya berlaku supaya rakyat boleh belajar daripada kesilapan,” katanya kepada FMT dari rumahnya di London.

“Malaysia mempunyai masa depan yang sangat kukuh dan positif, tetapi rakyat perlu belajar daripada masa silam (untuk)….membuahkan kerjasama antara kaum yang lebih baik. Kita boleh selesaikan apa jua isu dan mara.”

Dalam bukunya “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government”, Bose mengupas kegagalan Umno-BN dan “inner circle” Najib menjelang pilihan raya umum penuh bersejarah pada 2018.

Romen Bose.

PRU14 itu menyaksikan BN yang ditunjangi Umno, kehilangan kuasa selepas enam dekad menerajui Malaysia.




Bose menjadi penasihat kepada Perdana Menteri mulai 2012, setelah bekerja sekian lama sebagai wartawan di negara ini dengan media asing.

Ketika itu, beliau mendapati Najib tidak diberikan maklumat tepat berhubung apa yang sebenarnya berlaku dalam himpunan Bersih tahun itu dan sentimen negatif terhadap kerajaannya.

Melaporkan dari lapangan, Bose melihat polis bertindak kejam terhadap penunjuk perasaan dan media. Beliau juga mengesan penularan sentimen negatif rakyat terhadap kerajaan pimpinan Najib.

Namun begitu, Bose dimaklumkan oleh pembantu kepada Najib bahawa Perdana Menteri tidak menyedari rasa tidak puas hati itu, malah beranggapan kerajaan menangani apa jua keresahan dengan baik.

Sebelum berlepas ke London untuk menerokai peluang kerjaya baharu, Bose mencadangkan pembentukan kumpulan penasihat komunikasi kepada Najib bagi memberinya laporan tepat berhubung sentimen rakyat dan mengusulkan dasar sesuai yang boleh dilaksanakan.

“Najib (memberitahu saya): ‘Saya rasa ia idea baik dan saya gembira anda mencadangkannya. Saya perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku di lapangan, saya tahu ramai tidak beritahu perkara sebenar kerana mereka mahu membodek saya’,” tulis Bose dalam bukunya.

Susulan perbualan itu, Bose menjalin hubungan kerjasama dengan Najib sehingga kejatuhan beliau dan kekalahan BN pada 2018, ketika ketegangan hubungan antara parti komponen BN semakin ketara dan skandal 1MDB hangat diperkatakan.

“Saya tidak tahu sama ada Najib telah melihat buku ini. Saya tidak tahu apa reaksinya nanti. Buku ini ditulis untuk mendedahkan semua perkara, bukan untuk memuji atau merendahkan mana-mana kumpulan tertentu. Ia adalah pemahaman dan analisis objektif terhadap apa yang berlaku ketika itu.

“Ada perkara baik serta buruk, dan semuanya terkandung dalam buku ini. Terpulang kepada pembaca untuk menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah, bukan untuk saya katakan.”

Bose yang merupakan warga Singapura, memulakan kerjaya sebagai wartawan pelatih dengan The Straits Times pada pertengahan 1980-an dan kemudiannya bekerja untuk sejumlah program MediaCorp.

Pada 2005, beliau bekerja di Malaysia apabila menyertai Al Jazeera sebagai penerbit berita sebelum beralih ke agensi berita Perancis, AFP pada 2007.

Semasa menjadi pewarta AFP, beliau mula membina hubungan kukuh dengan Najib dan Pejabat Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai penasihat Perdana Menteri pada 2012.

Buku nukilan Bose akan dijual mulai 14 Dis ini. Tempahan awal boleh dibuat menerusi kedai buku ini:

Kinokuniya
MPH
Popular