Rakyat Sarawak yang mendapat semangat baharu selepas lulusnya
pindaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semalam seharusnya meneruskan perubahan
dengan melantik Kerajaan Negeri baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 18
Disember ini.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, pindaan MA63 tidak banyak makna sekiranya rakyat Sarawak tidak
bersungguh sungguh menuntut hak hak mereka yang telah digariskan dalam
Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang baru dipinda di
Parlimen hari ini, saya amat berharap seluruh rakyat Sarawak terutamanya untuk
berani memungkinkan reformasi dan perubahan demi kepentingan rakyat dan negeri.
"Kegagalan demi kegagalan akan berterusan sekiranya kita
terus dengan tampuk lama (kerajaan lama) yang tidak menjiwai nurani dan hasrat
rakyat yang dambakan keadilan dan kesaksamaan," katanya dalam satu
kenyataan.
Sehubungan itu, Presiden KEADILAN itu juga mahu jentera parti yang
berkempen di Sarawak agar benar benar menyelami permasalah rakyat dan mengajak
mereka bersama sama membentuk kerajaan yang lebih baik.
"Saya berada di Sarawak untuk beberapa hari pada hujung
minggu lalu menjelajah dari Beting Maro hingga ke Bekenu.
"Tersentuh dengan kerukunan yang ditonjolkan oleh pelbagai
suku kaum di Sarawak tatkala turun melihat cara hidup mereka di rumah-rumah
panjang dan di kawasan pedalaman, dan ini ternyata menjadi elemen yang mengikat
perpaduan antara kaum tidak hanya di Sarawak malah ia mesti terus diperkukuh di
seluruh negara.
"Saya beritahu kepada calon-calon kita dari KEADILAN dan
jentera untuk benar-benar memahami rintihan mereka serta mengangkat hak mereka
yang tidak dipedulikan dan dipandang enteng oleh sebilangan petinggi politik
yang hanya sibuk memunggah khazanah dan kekayaan negeri demi tembolok sendiri
sejak beberapa dasawarsa lampau," katanya.
Sehubungan itu, Anwar mahu pengundi di Sarawak keluar beramai
ramai lakukan perubahan pada PRN Sabtu ini.
"Sama-sama kita milih dan ngundi calon dari KEADILAN makei
masa depan sidak anak cucu kita kelak!" serunya.