Sarawak tiada master plan, pembangunan tidak teratur - Calon DUN Satok



Sarawak mungkin mendabik dada memilikki pembangunan yang tidak kalah daripada Semenanjung namun pembangunan di negeri itu tidak dirancang melalui master plan yang teratur.

Calon KEADILAN DUN Satok, Datuk Dr. Nor Irwan berkata, tanpa pelan jangka panjang pembangunan di Sarawak tidak boleh dijalankan dengan baik.

"Sebagai jurutera saya ada pengalaman bila melihat jalan raya di luar negara. Telah meneroka lebih 30 negara melihat pembangunan di negara besar. Sebagai perunding saya juga terlibat di negeri negeri Malaysi seperti Selangor, Pahang, Johor dan sebagainya.

Saya komen dari dua sudut, makro dan mikro. Kelemahan paling nyata di Sarawak ialah mereka tiada master plan. Pelan pembangunan jangka panjang. Semasa pembabitan saya buat projek di Sarawak, diakui tiada master plan ini. Itu masalah yang nyata, mereka tidak boleh mengurus negeri secara ad hoc. Mana mana negeri perlu diurus dengan pelan jangka panjang, 5 tahun 10 tahun. Dari pelan jangka panjang baru masuk ke jangka pendek.

"Bekalan air, elektrik, keretapi, pendidikan perlu dirancang rapi supaya tiada kawasan terpinggir," katanya.

Menurut beliau lagi, kegagalan pembangunan semakin parah bila melibatkan kawasan Kuching utara, terutama DUN Satok.

Katanya, biar pun bersempadan dengan Kuching pembangunan kurang tertumpu ke Satok.

"Jika lihat Satok dan bandar Kuching seperti dua darjat.

"Pembangunan rancak di sebelah Kuching selatan, di sebelah Kuching utara jauh ketinggalan. Pembangunan jalan ketinggalan.

"Bila jalan cantik kegiatan ekonomi rancak, usahawan boleh bergerak satu tempat ke tempat lain mudah," katanya.

Beliau juga kesal dengan penempatan penduduk di sekitar Satok yang masih tidak diberi geran oleh kerajaan sehingga menyukarkan mereka membangunkan kawasan atau pusaka diturunkan kepada anak anak.

"Satok berada di tengah bandar. Kita lihat ada hotel besar, realitinya miskin bandar. Rumah masih di atas air seperti Kampung Kude. Masih tanah TOL. Bagaimana emak ayah nak turunkan (harta) ke anak jika geran tidak diberi," katanya lagi.