PRN Sarawak: Parti pembangkang guna logo masing-masing strategi bagus, kata penganalisis

 

Dengan menggunakan logo sendiri, DAP dan PKR masing-masing dapat memainkan isu yang niche dengan pengundi, kata seorang penganalisis.

PETALING JAYA: Keputusan parti pembangkang untuk menggunakan logo masing-masing dan menekankan manifesto sendiri pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang adalah langkah logik dan strategi yang bagus, kata dua penganalisis politik.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata secara praktikalnya, Pakatan Harapan (PH) Sarawak “tidak wujud”, merujuk kepada gabungan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

Bahagian PKR dan DAP di Malaysia Timur tidak sependapat baru-baru ini, dengan PKR Sarawak menuduh DAP negeri tidak bekerjasama dalam rundingan kerusi untuk PRN, namun ini dinafikan DAP.

Parti itu sudah pun mengumumkan calon di 18 daripada 26 kawasan yang akan ditandinginya.

James Chin.

“Jadi dari segi strategi, ini adalah satu-satunya hasil yang mungkin didapati,” kata Chin kepada FMT.

Sementara masih belum dapat dilihat sama ada taktik sedemikian berjaya, katanya, nampaknya PKR akan bersaing untuk kerusi luar bandar dan DAP untuk kerusi bandar atau separa bandar, dengan manifesto parti masing-masing disesuaikan untuk menarik pengundi.

Chin berpandangan, kesan keseluruhannya adalah positif, dan berkata impak logo dan simbol tidak begitu kuat di kawasan luar bandar Sarawak berbanding di Semenanjung.

Di kawasan luar bandar Sarawak, jelasnya, ia bergantung kepada personaliti, jadi jika sesebuah parti menampilkan calon yang kuat, “logo tidak penting”.

“Jadi secara keseluruhan, langkah menggunakan logo mereka sendiri mempunyai kesan neutral. Ini adalah satu tindakan logik,” katanya.

Awang Azman Pawi.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, langkah komponen PH bertanding menggunakan logo sendiri dan mempunyai manifesto berasingan adalah strategi yang bagus.

Ini akan membolehkan parti berkenaan mengemukakan beberapa tawaran, termasuk yang “nic”. DAP boleh memainkan isu yang dekat dengan masyarakat Cina, manakala PKR boleh menumpukan kepada perkara seperti infrastruktur luar bandar dan tanah adat.

Bagaimanapun, seteru politik mereka mungkin menggunakan kelebihan ini untuk menyerang PH dengan menuduh komponennya “tidur sekatil tetapi mimpi berbeza”.

“Ia juga memberi tanggapan bahawa mereka tidak mahu bekerjasama untuk menghasilkan manifesto bersama,” katanya.

Sekalipun begitu, kata Awang Azman, PH tidak boleh dipandang rendah kerana mereka masih mempunyai penyokong walaupun menerima kritikan.

“Kita juga perlu ingat, PH Sarawak ada autonomi dan berlainan daripada PH di Semenanjung,” katanya.

Pada 25 Nov, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen mengumumkan bahawa ketiga-tiga parti komponennya akan menggunakan logo masing-masing, manakala awal minggu ini, pemangku Pengerusi PKR negeri Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, parti komponen tidak akan berkempen dengan satu manifesto pada PRN.