NUSI..HANG JANGAN DOK BUAT TERCENGANG BODO SEPAT PULAK MACAM KISAH RAPTOR DI JURU DULU...HANG KENA HABAQ BETOI BETOI

 


Sanusi digesa perjelas status sebenar projek litar lumba di Sungai Petani


Setelah dua Pilihan Raya Umum (PRU) berlalu, janji untuk membina Litar Lumba Antarabangsa Sungei Petani, Kedah masih lagi menjadi igauan kepada anak-anak muda samada ianya akan menjadi realiti atau pun sebaliknya.

Menurut Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir, anak muda Kedah mulai kecewa serta marah dan mendesak kerajaan negeri dan Persekutuan supaya segera kotakan janji tersebut.

Justeru, beliau mendesak supaya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan status sebenar projek tersebut dengan segera.

“Tidak kisahlah sama ada yang telah berjanji itu Barisan Nasional (BN) atau Pas mahu pun siapa sahaja. Yang pasti projek telah disokong dan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan serta sejumlah wang telah disalurkan ke dalam kantung kerajaan negeri Kedah bagi pembangunan projek tersebut, tetapi hingga sekarang tidak menampakkan hasilnya.

“Sudah sampai masanya Menteri Besar Kedah menjawab dengan jujur tanpa berselindung lagi serta dolak-dalik apakah ianya akan dibina ataupun dibatalkan.

“Sebaik saja menjadi MB Kedah selepas PRU 13, usaha telah saya laksanakan bagi merealisasikan impian anak muda dan memenuhi aspirasi peminat sukan permotoran bukan saja yang ada di Kedah, malah dari seluruh negara. Bukan setakat membina litar ala kadar sebaliknya sebuah arena yang diiktiraf badan sukan permotoran antarabangsa, ” ujar beliau melalui laman Facebook hari ini.

Kata Mukhriz lagi, keyakinan kerajaan negeri ketika itu adalah berasaskan kepada panduan dan sokongan Sepang International Circuit yang telah berjaya menganjurkan pelbagai perlumbagaan unggul, khasnya Moto Grand Prix dan Formula 1.

Malangnya tegas beliau, setiap kali penjelasan diminta ketika sidang Dewan Undangan Negeri Kedah mengenai status projek tersebut, jawapan yang diberikan adalah tidak jelas dan tidak meyakinkan.

Kerajaan negeri katanya, tidak memperlihatkan minat yang bersungguh serta tidak juga menyatakan secara jelas samada mahu membatalkan projek yang telah dijanjikan kepada anak muda tersebut.