Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melontarkan pertanyaan kepada Perdana Menteri susulan arahan supaya Menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti membatalkan percutian masing-masing.
“YAB PM boleh tolong nyatakan menteri mana yang sedang bercuti di luar negara waktu rakyat tengah derita sengsara?” soal wakil rakyat PKR itu di Twitter beliau.
Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata menteri yang kini berada di luar negara juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.
Arahan Ismail itu walau bagaimanapun dikeluarkan selepas seminggu bah besar yang mengakibatkan puluhan ribu rakyat hilang harta benda malah rumah dihanyutkan serta puluhan nyawa terkorban.