Oleh: Redzuan Shamsudin
ULASAN: Dibayangi prestasi Pilihan Raya Negeri (PRN)
Melaka, KEADILAN Sarawak perlu memberikan sesuatu yang lebih positif dalam PRN
kali ini.
Mungkin mempertahankan rekod menang 3 DUN dianggap terbaik dalam
cabaran sengit Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang begitu besar dananya dan Parti
Sarawak Bersatu (PSB) yang juga tidak kurang dana serta penajanya.
Bagaimanapun, KEADILAN sebagai parti yang telah bertapak di Sarawak sejak tahun
2000 tidak mungkin mahu diukur prestasi dengan hanya 3 kerusi DUN.
Parti yang telah melalui cabaran dua dekad dan dikenali oleh
majoriti pengundi Sarawak seharusnya menunjukkan prestasi yang lebih
menggalakkan.
Wajar menang 5 kerusi
KEADILAN wajar menang sekurang kurangnya 5 kerusi berdasarkan usia
parti. Tidak mengulangi prestasi PRN 2016. Dengan bertanding hanya 28 kerusi
dan sumber boleh ditumpukan ke kawasan kawasan berpotensi maka seharusnya
keputusan PRN kali ini adalah yang terbaik buat KEADILAN.
Namun adakah pengundi tempatan akan menyokong calon KEADILAN?
Berdasarkan mood kelihatan KEADILAN boleh mendapat banyak undi di kerusi kerusi
sekitar Kuching dan Miri. Di kedua dua bandar besar ini penyokong KEADILAN agak
banyak. Biar pun kesukaran berkempen di kekang Prosedur Operasi Piawai (SOP)
namun pengundi masih boleh mendapatkan mesej kempen melalui internet.
Golongan berpendidikan yang telah bosan dengan corak pentadbiran
GPS selama 58 tahun mungkin akan melakukan perubahan, terutama isu akses
internet yang tidak stabil, banjir kilat serta kemudahan asas yang gagal
diperbaiki oleh parti pemerintah.
Tidak boleh diperkecilkan arus bantahan pengundi muda dan
berpendidikan yang berpendapat 'sekiranya menyokong pembangkang atau kerajaan,
kemajuan tetap sama'. Pendapat seperti itu boleh didengar di kawasan kawasan
sub bandar. Kebanyakan generasi terdahulu telah mengundi GPS terlalu lama dan
tidak mendapat pembangunan yang selayaknya. Maka bagi generasi muda seharusnya
GPS 'diajar' dengan mengundi pembangkang.
Manifesto terbaik
Dari segi manifesto KEADILAN menawarkan tawaran yang logik dan
lumayan. Berbekalkan jumlah RM31 bilion rizab tunai Sarawak, mungkin manifesto
KEADILAN boleh meransang golongan Atas Pagar yang berpendidikan untuk mencuba
kerajaan baharu dan mengharapkan janji bantuan tunai atau pembangunan tersebut
akan berhasil.
Bagi kawasan pendalaman pula, KEADILAN menjanjikan pemberian tanah
tanah lot dan skim pembangunan tanah Selda. Tawaran Selda menarik bagi anak
muda yang telah berkeluarga tetapi tidak memiliki tanah untuk diusahakan. Cuma
terdapat sedikit faktor ketidakpastian kerana skim sama tidak ditawarkan dalam
manifesto DAP dan Amanah yang sepatutnya diikutsertakan, bagi memberi keyakinan
sekiranya parti parti dalam Pakatan Harapan menang maka Selda boleh direalisasikan.
Terlepas daripada tawaran tawaran manifesto, suasana PRN di
Sarawak mungkin tidak begitu menyebelahi KEADILAN di kawasan bukan bandar dan
sub bandar. Cuma dalam beberapa hari terakhir, kelihatan protes dari golongan
di atas 40an kepada GPS dengan pengakuan tidak akan keluar mengundi kerana
kecewa dengan ahli ahli politik gabungan itu.
Persaingan KEADILAN, PSB
Protes seperti ini di sesetengah kawasan akan membuka persaingan
di antara KEADILAN dan PSB. Sekiranya di kawasan berkenaan mempunyai banyak
penyokong KEADILAN tetapi tidak cukup untuk mengalahkan GPS maka dengan boikot
penyokong GPS, KEADILAN berpotensi menang.
________________________________________________________________________________
Artikel ini disediakan
berdasarkan pemerhatian pasukan Suara Keadilan yang membuat liputan di PRN
sarawak