Mahasiswa KEADILAN bersama Mahasiswa Harapan telah melancarkan
Misi Banjir sejak hari pertama bencana itu melanda pada 18 Disember lalu.
Menurut Presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Syamil Luthfi (gambar
atas), pergerakan itu telah
menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Bukit Lanchong, Petaling Jaya,
Selangor sejak hari pertama dan kini bantuan telah dihantar kepada mangsa
mangsa di Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang yang terlibat banjir.
"Saya dan rakan-rakan sudah turun ke kawasan terjejas sejak
hari pertama banjir berlaku di Bukit Lanchong. Mahasiswa Harapan sempat
membekalkan makanan segera buat mangsa yang diselamatkan oleh pihak
penguasa," katanya
Mahasiswa membantu mangsa apa yang termampu
Di samping itu, menurut Syamil, tabung kutipan derma juga
digerakkan oleh Mahasiswa Harapan pada hari kejadian dan sehingga semalam
kira-kira hampir RM60 ribu berjaya dikumpulkan.
"Setakat hari ini sebanyak RM27,000 telah dibelanjakan bagi
tujuan membantu dan sumbangan barangan kepada penduduk.
"Padang Jawa, Bukit Lanchong, Sri Muda, Jelebu, Lubok Cina
dan Bentong merupakan antara kawasan yang telah dibantu oleh Mahasiswa
Harapan," katanya lagi.
Misi berkenaan, kata beliau, menjadi mudah apabila anggota
mahasiswa tinggal di kawasan berdekatan lokasi bencana.