Calon KEADILAN DUN Beting Maro, Abang Zulkifli Abang Engkeh
berjanji kerajaan Pakatan Harapan sekiranya berjaya dibentuk akan
mengkomersialkan sektor pertanian berasaskan tumbuhan nipah.
Katanya, nipah banyak didapati di kawasan paya sekitar DUN
berkenaan dan Saribas namun tiada kawalan harga dan insentif yang diberikan,
menyebabkan perusahaan tersebut dilakukan secara kecil kecilan.
"Sebenarnya hutan nipah ini sumber kehidupan rakyat di
persisiran pantai terutama sekali di Kampung Tambak.
"Sebab hutan nipah banyak di Sarawak di kawasan wetland.
Tetapi pengusaha nipah itu banyak tertumpu di kawasan Kg Tambak, Pusa, Saribas.
Di tempat lain pun ada juga, misalan di Kota Samarahan tetapi tidak menonjol
seperti di Kg Tambak.
"Kehidupan orang di sini sejak dahulu bergantung kepada
nipah. Kepada Menteri Pertanian (kerajaan Sarawak) saya pernah mencadangkan
supaya nipah diusaha secara komersial dan harga nipah ditentukan oleh warga
tempatan," katanya.
Oleh kerana nipah tidak begitu banyak terdapat di tempat lain,
menurut Abang Zul, jika harga produk tersebut dikawal dan ditentukan oleh penduduk
tempatan maka mereka akan mendapat hasil lebih baik dan lebih banyak penduduk
akan menceburi sektor berkenaan.
"Sejak dahulu harga nipah ditentukan oleh pasaran. Barang ini
jika kita pandai mengaturnya kita boleh monopoli sebab kegunaan pokok nipah
dari batang sampai ke buah sampai ke nira banyak gunanya.
"Saya difahamkan di Kg Tambak ada lebih kurang 200 pengusaha.
Memang merupakan sumber utama pendapatan mereka," katanya lagi.