Jangan jadi macam ‘pelampau’ PAS, Guan Eng bidas ahli DAP tegur Hannah Yeoh bertudung di masjid

 



Hannah Yeoh memakai selendang ketika melawat sebuah masjid di
 Kuala Lumpur minggu lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP Johor hari ini diselar Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng kerana mengkritik tindakan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh memakai selendang di dalam masjid.

Dr Boo Cheng Hau dilaporkan tidak berpuas hati dengan tindakan Yeoh berselendang ketika lawatan ke satu masjid di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Susulan itu, Lim menegaskan Yeoh tidak salah apabila memakai selendang ketika memasuki masjid.

“Sama saja bagaimana semua pelawat perlu menutup kepala dengan kain jika mahu memasuki gurdwara,” katanya merujuk kepada rumah ibadat Sikh.

“Menunjukkan hormat di tempat ibadat tidak patut dilihat seperti mengabaikan kepercayaan sendiri.”

Lim berkata, Boo sepatutnya memfokuskan terhadap isu lebih penting seperti kenaikan harga makanan asas.

“Saya lihat kenyataan Boo tiada beza dengan yang dibuat pemimpin PAS ekstremis dan primitif, yang mahu mengawal pakaian wanita.

“Bukan saja tindakannya tidak peka jantina, malah berisiko menggambarkan pemimpin DAP sebagai tidak bertoleransi dan regresif, sama seperti pemimpin PAS yang ekstremis,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kritikan yang tidak dapat dijustifikasi oleh seorang pemimpin negeri memberi gambaran buruk terhadap keseluruhan DAP.

Sementara itu, Yeoh ketika menjawab kenyataan Boo berkata di Twitter: “Memakai selendang ketika menziarah masjid tidak mengubah bangsa atau agama saya. Sayangi jiran seperti kita sayangi diri sendiri. Lakukan kepada orang lain sebagaimana yang kamu ingin dilakukan kepada kamu. Amen.”

Boo mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Yeoh itu dalam kumpulan sembang WhatsApp pemimpin-pemimpin DAP Johor, lapor Malaysiakini.

FMT telah menghubungi Boo untuk mendapatkan komen.