Oleh SURI LAILA / December
2, 2021
Perdana Menteri, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob akan menerima seorang lagi Penasihat Khas yang
bertanggungjawab menasihati beliau dalam bidang kesihatan dan akan dilantik
dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata,
Penasihat Khas itu kini sedang dalam proses lantikan.
“Penasihat yang dilantik
ini dalam kalangan mereka yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan
kepakaran dalam hal berkaitan dengan skop tugas mereka, yang boleh memberi
faedah kepada usaha pembangunan negara, selari dengan konsep Keluarga
Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab
persoalan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) yang bertanya mengenai
jumlah Penasihat Khas Perdana Menteri yang dilantik dan apakah bidang mereka.
Amiruddin
juga meminta penjelasan tentang implikasi kewangan bagi setiap lantikan dan
keputusan penting yang dibuat hasil daripada nasihat yang diberikan.
Sementara
itu Abdul Latiff menjelaskan, anggaran kos bulanan keseluruhan bagi setiap
pejabat Penasihat Khas yang dilantik termasuk kos pegawai di pejabat itu adalah
RM50,000.
“Kos
ini termasuk bayaran gaji dan emolumen Penasihat Khas serta pegawai yang
dilantik bagi menguruskan hal ehwal dasar dan operasi di pejabat itu,” katanya.
Sebelum
ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai
Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dan
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).