Nasib anak muda memasuki tahun 2022 mungkin lebih buruk dengan melambungnya harga barang dan semakin sempitnya peluang pekerjaan.
Bagi Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Muhammad Adzlan Adzhar, laporan media arus perdana baru baru ini yang menyebut rakyat bakal berdepan kenaikan harga barang antara 30 hingga 200% adalah tamparan hebat buat anak muda yang baru memulakan kehidupan.
Menurut beliau, kerajaan seharusnya punya pelan penyelesaian jangka panjang terutama ke atas masalah pengangguran dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam kalangan belia di negara ini
"Saya merujuk laporan di dada-dada akhbar dan media elektronik yang melaporkan kebimbangan awam terhadap kenaikan harga barang. Hal ini sudah pasti meresahkan banyak pihak dalam mendepani cabaran ekonomi, sekaligus krisis kesihatan akibat wabak Covid-19. Namun, bagaimana pula nasib anak muda yang tidak terkecuali menerima kesannya?
"Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran
melonjak kepada 5.0 peratus. Kadar ini meningkat 48.8 peratus berbanding tahun
sebelumnya kepada 778.8 ribu orang. Ini merupakan peningkatan tertinggi sejak
34 tahun lalu. Manakala pengangguran dalam kalangan graduan terus mencatatkan
peningkatan
"Berdasarkan Statistik Siswazah 2020, bilangan penganggur
siswazah sekitar 28% atau seramai 202,400 orang. Hal ini sangat meresahkan
kita, jika harga barang terus meningkat, jurang pengangguran dalam kalangan
graduan terus melebar, bagaimanakah caranya anak muda mampu bertahan? Siapa
yang peduli? Adakah kerajaan Perikatan Nasional cukup prihatin?" tanyanya.
Tegas Ketua AMK Cabang Balik Pulau itu, kerajaan PN sepatutnya mempunyai solusi menangani kos sara hidup dalam kalangan anak muda dan bukan hanya mengutamakan isu isu pentadbiran yang menguntungkan diri mereka sahaja.
Kata Adzlan, pembaziran harus dielakkan dan dana khusus pembangunan atau latihan semula belia wajar difikirkan untuk mendapatkan kemahiran baharu yang tidak diajarkan di sekolah tetapi diperlukan dalam bidang pekerjaan.
"Kebimbangan ini didasarkan dengan laporan-laporan yang terus menjengkelkan dari Dewan Rakyat. Pelantikan penasihat Perdana Menteri, pertambahan saiz kabinet dan keperluan untuk menukar “kenderaan selesa” (Toyota Vellfire) dilihat menjadi keutamaan kerajaan berbanding memikirkan jalan keluar dari permasalahan ini. Mampukah anak muda mengharapkan kerajaan membela nasib mereka, sementara realiti menunjukkan sebaliknya.
"Oleh itu, sebagai anak muda, saya menggesa kerajaan lebih
memberi perhatian kepada golongan belia.
"Pakej rangsangan yang diperkenalkan dilihat belum cukup untuk membantu mengurangkan masalah pengangguran apatah lagi harga barang. Jangan biarkan anak muda terkontang kanting menjalani kehidupan ketika krisis ekonomi dan kesihatan terus menghimpit mereka," katanya lagi
Justeru, Adzlan mahu kerajaan PN bermuhasabah dan merenung kata-kata hikmah dari Imam AL-Ghazali “Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya pada hari ini” bagi memperbaiki nasib anak muda Malaysia.