Dr M: Anwar tak tahu perintah negara, tapi perlu untuk jatuhkan Najib
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad yakin Anwar Ibrahim tidak tahu memerintah negara dan hanya bekerjasama dengan Presiden PKR itu untuk menumbangkan Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu menyentuh beberapa isu tersebut dalam buku terbaharunya, “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, yang dilancarkan hari ini.
Mahathir mempunyai sebab-sebab tersendiri yang membuatkan beliau tidak senang dengan Anwar, tetapi merasakan apa yang Najib sudah lakukan pada negara adalah lebih teruk.
Beliau berkata matlamat mereka terhadap Najib seiring, dan kerjasama itu membuahkan hasil.
Mahathir akui beliau ada berjanji akan berundur sebelum PRU seterusnya, tetapi Anwar secara tidak langsung menekan beliau untuk melepaskan jawatan lebih awal.
Beliau berkata hanya Anwar seorang yang menekan-nekan, kerana pemimpin pembangkang lain tidak memaksa malah memberikan masa kepadanya untuk selesaikan beberapa masalah ‘rumit’.
Mahathir seterusnya mengkritik kebolehan Anwar memimpin dan merasakan Presiden PKR itu tidak tahu memerintah negara berdasarkan pengalamannya yang lalu.
Anwar, katanya, mungkin menganggap dirinya berkebolehan tetapi beliau bukanlah faktor berlakunya rampasan kuasa.
Mahathir akui ada cakap-cakap mengenai membentuk kerajaan Melayu-Islam selepas PH menang PRU dan rampasan kuasa, tetapi menepisnya kerana merasakan ia tak akan boleh dilakukan.
Malah, beliau merasakan anggota Jemaah Menterinya, yang turut dianggotai oleh pemimpin Bersatu, bekerjasama dengan baik.