BN AMAT BERPELUANG CERAH MENANG PRU15 JIKA ISMAIL SABRI DIJADIKAN ‘POSTER BOY’

 

Sejak belum dilantik sebagai Perdana Menteri lagi saya sudah sering menulis dengan mengatakan Ismail Sabri Yaakob adalah pemimpin yang tidak cukup keupayaan serta kemampuan untuk menjadi ketua bagi menerajui negara ini.

Sebagai Perdana Menteri, seseorang itu adalah umpama paglima di medan perang di mana dia mesti cekap, agresif, tangkas, berwibawa, disegani serta tidak malu mengeluarkan suara.

Ismail Sabri, sebagaimana kita semua sedar dan saya sendiri kenal sikit-sikit dengannya kerana pernah menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, tidak memiliki semua ciri-ciri itu.

Lebih daripada itu, beliau juga tidak pernah memiliki sebarang rekod cemerlang sama ada sebagai pemimpin UMNO dengan bermula penglibatannya di peringkat nasional sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia atau ketika menjadi menteri di beberapa kementerian selepas itu.

Pencapaian atau berjalannya beliau di trek perjuangan selama ini adalah biasa-biasa saja, malah tiada apa-apa yang boleh dibanggakan.

Mara Digital yang ditubuhkan melalui ideanya yang bersalut sentimen perkauman pun akhirnya terkubur begitu saja.

Tetapi, berikutan kekalahan BN dalam PRU14 dan berlaku pelbagai kekalutan kemudiannya, maka tertulislah rezekinya untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika BN tidak kalah pada PRU 2018 lalu, Ismail Sabri bukan saja tidak mungkin berpeluang jadi Perdana Menteri, bahkan nak jadi Timbalan Perdana Menteri pun jauh panggang daripada api.

Begitu pun, sebagaimana tertulis rezekinya untuk jadi Perdana Menteri, turut sama tertulis ialah takdirnya yang lebih cepat dipertikai dan ditolak rakyat.

Tidak pernah ada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang bukan saja ditolak, malah disuruh berhenti hanya setelah tiga bulan memegang jawatan itu.

Kalau ketika menjadi menteri dahulu, kelemahan dan ketidakupayaannya tidak begitu ketara, namun setelah memegang jawatan Perdana Menteri, ia tentunya tidak mampu disembunyikan lagi.

Mereka yang lemah dan tidak menyerlah ketika memegang jawatan menteri, pasti akan lebih buruk prestasinya jika setelah memegang jawatan lebih tinggi atau mengetuai kerajaan.

Ketika ini, bukan saja rakyat biasa dan orang di merata-rata mempertikaikan kelemahan, ketidakmampuan dan ketidakupayaan Ismail Sabri, malah dalam UMNO sendiri makin kedengaran nada yang sama terhadapnya.

Ramai dalam UMNO sendiri tidak lagi menyembunyikan rasa kecewa kerana selain beliau tidak lebih baik, juga jauh lebih buruk daripada Mahiaddin Md Yasin yang dijatuhkan sendiri oleh UMNO.

Sepatutnya, dengan Mahiaddin dijatuhkan kerana kegagalannya, penggantinya mestilah lebih baik, bukan gagal lebih teruk daripada itu.

Mahu tidak mahu, UMNO kini terpaksa menanggung malu yang bukan kepalang disebabkan prestasi Ismail Sabri yang mengecewakan itu.

Dan berdepan PRU15 akan datang, dilema paling besar bakal menanti UMNO dan BN ia

lah sama ada mahu terus mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri lagi atau sebaliknya.

Jika beliau diletakkan sebagai calon Perdana Menteri, sudah pastilah Ismail Sabri juga akan menjadi “poster boy” BN yang mana poster-poster gambarnya akan ditaburkan ke seluruh negara sebagai umpan untuk menarik sokongan.

Soalnya, bolehkah Ismail Sabri yang gagal teruk, lebih gagal daripada Mahiaddin dan tercatat sebagai Perdana Menteri paling gagal hanya setelah tiga bulan memegang jawatan menjadi tarikan untuk rakyat memilih BN sebagai kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang?

Kecuali jika rakyat sudah hilang akal dan merasakan mahu lebih lama hidup derita di bawah kepimpinan seorang Perdana Menteri yang lemah, barangkali barulah potensi untuk BN menang PRU15 agak cerah dengan menonjolkan lagi Ismail Sabri. – ShahbudinHusin 29/12/2021.