Hanya melalui bencana banjir yang diturunkan Tuhan, dengan paling teruk di Selangor, segala kelemahan Perdana Menteri dan ketidakmampuannya mengurus kerajaan akhirnya terserlah dengan sendirinya.
Dengan banjir yang melanda itu, Ismail Sabri Yaakob bukan saja gagal memastikan bencana tersebut diurus dengan cekap, malah tidak upaya meletakkan menteri-menterinya berfungsi dengan baik untuk sama-sama menanganinya mengikut bidang kuasa kementerian masing-masing.
Lebih buruk, di ketika banjir inilah juga ramai menteri lantikannya didapati bercuti di luar negara sehingga Ismail Sabri terpaksa mengarahkan mereka pulang ke tanahair dengan segera.
Melalui segala kelemahan yang timbul itu serta ia diperbualkan dengan hebat di seluruh negara, gambaran bahawa Malaysia di bawah kepimpinan Ismail Sabri seperti tiada kerajaan bukan lagi suatu rekaan semata-mata.
Ia adalah fakta dan bukan auta kerana yang berfungsi sebenarnya dalam menolong mangsa banjir adalah rakyat sendiri melalui semangat tolong menolong dan kesukarelawanan serta NGO-NGO daripada seluruh negara.
Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, seorang mangsa banjir yang kecewa dengan kelembapan Perdana Menteri, kerajaan dan menteri-menterinya menangani masalah banjir sampai mencadangkan lebih baik rakyat saja diberi peluang mengurus kerajaan.
Tidakkah ini sebenarnya amat memalukan kerajaan, Ismail Sabri dan menampakkan menteri-menteri kabinet langsung tidak berfungsi?
Ertinya, dengan kegagalan menangani banjir yang mengecewakan ramai baru-baru ini, rasa bangga Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan bahawa menteri-menterinya telah memperolehi 90 peratus markah dalam tempoh 100 hari menjadi kerajaan tidak boleh diterima pakai lagi.
Kata mereka, jika benar markah menteri-menteri 90 peratus, bagaimana mengurus banjir boleh gagal, sedangkan bencana itu boleh dikata berlaku hampir setiap tahun?
Bahkan, ada yang lebih sadis menuduh Perdana Menteri mengumumkan markah tipu kepada rakyat.
Sekaligus juga,kelemahan kerajaan menangani masalah banjir itu telah memadam sama sekali kejayaan gemilang BN dalam PRN Melaka yang baru lalu.
Semua kemegahan bahawa UMNO dan BN kembali diyakini rakyat susulan kejayaan PRN Melaka telah hanyut dan tenggelam dibawa arus banjir.
Yang tinggal sekarang ialah daki kecaman, rasa tidak puas, marah dan meluat kepada UMNO, BN dan Ismail Sabri yang sedang menerajui kerajaan.
Hanya dek kerana banjir selama seminggu, kemarahan rakyat kini lebih meluap-luap terhadap Ismail Sabri dan kerajaan, bahkan melebihi kemarahan kepada Mahiaddin Md Yasin kerana gagal menangani pandemik Covid19 sebelum ini.
Ramai yang tidak ragu-ragu mengatakan jika PRU diadakan dalam waktu terdekat ini, pasti UMNO dan BN akan kalah teruk dibuatnya.
Sebabnya tidak lain ialah kerana Ismail Sabri yang menerajui kerajaan, hanya melalui ujian banjir yang diturunkan Tuhan, telah menampakkan kegagalan kepimpinan paling teruk, sekaligus menyerlahkan kepercayaan bahawa UMNO serta BN tidak layak lagi diberi peluang berkuasa di negara.
Ismail Sabri, melalui kuasa Perdana Menteri dalam tangannya, terbukti hanya cekap memberi jawatan dan kedudukan untuk mengukuhkan jawatannya saja, tetapi amat lembab dalam memberi khidmat yang berkesan kepada rakyat.
Selain tidak lebih baik daripada pendahulunya Mahiaddin, Ismail Sabri malah dikira Perdana Menteri paling teruk setakat ini.
Itu baru diuji dengan banjir seminggu, bayangkan jika tempoh ujiannya seperti Covid19. – ShahbudinHusin 27/12/2021.