Banjir besar: Kerajaan Persekutuan perlu hulur segera bantuan - Exco Selangor

 



Situasi banjir di Selangor yang memburuk seharusnya ditangani segera oleh Kerajaan Persekutuan 24 jam lebih awal.



Menurut Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail, sehingga malam tadi bantuan daripada agensi Persekutuan masih banyak yang tersangkut manakala aset aset penting yang dimiliki pasukan keselamatan misalnya belum dikerah sepenuhnya.

"Yang kita sedih bila mana kita mohon bantuan pihak bomba atau polis dan sebagainya, balai polis pun tenggelam.

"Saya rasa Kerajaan Persekutuan perlu cepat sikit bangkit dan bantu kami di Selangor. Ini bukan perkara main main. Walau Perdana Menteri dah umum tetapi dia sepatutnya umum pagi semalam.




                                               Rodziah Ismail



"Sekarang dah hampir 24 jam banjir berlaku, kalau nak harapkan jentera kerajaan tempatan (PBT) kita tak mungkin dapat melaksanakannya.

"Kami dari subuh hingga ke subuh tidak berehat memberi bantuan. Apa yang kita harapkan, mana mana yang ada bahan mentah seperti sayur, ayam, telur hantarlah ke pusat khidmat. Atau sapa sapa yang boleh masak untuk 10, 20 orang pergilah hantar ke pusat pemindahan," katanya dalam satu siaran video.

Menurut Rodziah lagi, DUN Batu Tiga, Shah Alam yang diwakilinya masih terdapat kawasan yang tidak mendapat bantuan makanan kerana terputus hubungan darat sama sekali.

Katanya, mangsa banjir berjam jam menahan lapar dan hal itu tidak sepatutnya berlaku.

"Saya menyiapkan makan malam untuk dihantar ke beberapa pusat pemindahan sementara di DUN Batu Tiga

"Kita pun sudah habis barang makanan untuk disediakan. Apa yang ada di pusat khidmat kita berikan.

"Apa yang merisaukan saya, banyak lagi pusat pusat pemindahan tidak dapat disediakan makanan dan juga kita nampak Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak dapat menghulurkan bantuan disebabkan mereka terkandas," katanya.

Dalam pada itu, Rodziah menyeru agar orang ramai yang tidak terjejas banjir agar membantu sesiapa sahaja di kawasan kejiranan mereka, sama ada memperhatikan keselamatan, memeri makanan atau membantu apa yang termampu.