BAGAIMANA NAK MENGAJAR SI PEMBULI

 


Saya bersyukur siasatan diteruskan bagi kes buli pelajar di sekolah asrama walaupun mereka telah merayu kepada mangsa jangan diteruskan dengan laporan polis.
Terkejut saya masing-masing sebenarnya berusia 13 tahun. Baru tingkatan 1. Bukan tidak mahu memikirkan tentang masa hadapan pelaku-pelaku ini tetapi akibat ini berlaku kerana perbuatan mereka sendiri. Berani buat, beranilah terima akibatnya.
Mereka perlu diajar bahawa setiap perbuatan salah ada akibat dan hukumannya. Kita tidak mahu ada lambakan generasi tidak berhati perut yang membuli macam kes arwah Zulfarhan sehingga nyawa terkorban.
Umur baru 13 tahun tetapi tiada simpati atau empati. Sakit hati melihat mereka ketawa dan mengambil giliran menumbuk seorang demi seorang. Kasihan melihatkan wajah mangsa yang cuba menyembunyikan ketakutan tetapi terpaksa menghadapi situasi kerana mereka ramai.
Kalau dalam kes begini. Apa kesan dan akibat kepada pelaku-pelaku ini? Dua-dua tindakan boleh diambil. Jenayah dan sivil. Jenayah bagi hukuman kerana mencederakan dan sivil bagi tuntutan ganti rugi.
Saya hendak rujuk satu kes yang dibawa ke mahkamah dan mangsa berjaya mendapat pampasan ganti rugi. Kes ini pernah mendapat liputan media. Linknya ada di ruang komen.
Dalam kes [2020] 9 CLJ 379, mangsa adalah seorang pelajar tinkatan dua di sekolah asrama. Mangsa seorang pelajar telah dibuli oleh lima orang pelajar. Mangsa telah dibuli secara:
"..antara lain, menumbuk, memukul, membaling bola ragbi ke arah muka dan badan plaintif (mangsa), menyuruhnya squat dan jika jatuh akan dipukul, meletakkan besi berat atas tangan plaintif dan menolak kepala plaintif ke loker hingga loker tersebut kemek.."-petikan laporan kes.
Kejadian berlaku dalam bilik Ketua Pengawas dan Penolong Ketua Pengawas berada dalam bilik yang sama hanya berdiam diri dan tidak membantu mangsa.
Mangsa kemudiannya mendiamkan diri kerana diugut pelaku-pelaku jika mangsa melaporkan, mangsa akan dipukul lebih teruk. Kejadian hanya diketahui apabila mangsa bangun dari tidur dan terlihat tompokan darah di atas bantal dan telinga. Mangsa kemudian dibawa ke klinik dan kemudian ke hospital.
Kelima-lima pelaku dihadapkan ke Mahkamah Majistret jenayah bagi kesalahan mencederakan mangsa, mereka mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun.
Kejadian ini memberi kesan kepada mangsa. Mangsa hilang pendengaran dan terpaksa menggunakan alat bantuan pendengaran. Mangsa mengalami kecederaan di tubuh badan dan muka. Mangsa menghadapi trauma yang teruk.
Ibu bapa mangsa telah membawa kes ini ke mahkamah bagi tuntutan ganti rugi. Tuntuntan dibuat terhadap kelima-lima pelajar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Pengetua (pada masa kejadian), Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia.
Ini dapatan mahkamah:
" (2) KP dan PKP bersekongkol dan bersubahat walaupun tidak mengambil peranan aktif kerana, selaku wakil pihak pentadbiran sekolah yang menyaksikan kejadian, mereka langsung tidak melarang atau menghalang defendan pertama hingga kelima.."- petikan laporan kes.
Ketua pengawas dan penolongnya langsung tidak dipanggil memberi keterangan. Oleh yang demikian memberi anggapan bertentangan.
"(3) ...Jika warden menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh tanggungjawab, sudah tentu dia akan memeriksa bilik pelajar, termasuk bilik KP dan PKP. Defendan keenam dan ketujuh dan warden mempunyai kewajipan penjagaan terhadap plaintif.."-petikan laporan kes
Nilai asal tuntutan adalah sebanyak RM2 juta ringgit. Namun demikian, mahkamah memberi pampasan ganti rugi selaras dengan segala pembuktian yang dikemukakan iaitu sebanyak RM600,000++. Kiraanya ada dalam gambar, saya ambil dari laporan kes di mahkamah.
Kes begini kesannya kepada masa hadapan pembuli juga. Paling malang adalah mangsa. Kenapalah tidak fikir panjang si pembuli-pembuli ini. Apalah dapat hendak tunjuk hero?
Saya harap jika kita ada anak-anak bersekolah, pesan kepada anak-anak kita janganlah jadi pembuli. Banyak kesannya. Rosak masa hadapan sendiri, menyebabkan trauma kepada mangsa dan kesan kepada masa hadapan mangsa.
Pesan juga kepada anak-anak kita, kalau dibuli jangan senyap. Laporkan. Ada undang-undang yang membela. Jangan biarkan pembuli ini terus mencari mangsa yang lain.



Oleh Nor Zabetha