Anwar ingatkan, DNB boleh jadi skandal lebih besar dari 1MDB




Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya beberapa
 syarikat yang diberikan tender secara rahsia oleh
 kerajaan dalam projek itu dimiliki beberapa tokoh
 utama politik. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memberi peringatan bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) boleh jadi skandal lebih besar dari 1MDB.

Beliau berkata demikian selepas melihat tidak ada satu dasar, ketelusan dan tender jelas terhadap DNB sebagai pemborong tunggal 5G.

“Beringat dan waspada. Kita baru hebah dengan kisah 1MDB. Sekarang kita berdepan dengan kemunculan satu skandal baru, DNB.


“Isu 5G yang diwar-war sangat penting. Tetapi tidak ada dasar jelas, tidak ada ketelusan, tidak ada tender,” katanya dalam satu video di Facebooknya.

Anwar juga menambah beliau percaya beberapa syarikat yang diberikan tender secara rahsia oleh kerajaan dalam projek itu dimiliki beberapa tokoh utama politik.

Jelasnya lagi, terdapat keraguan dalam DNB yang dilihat tidak ada proses perolehan teratur.

“Kos tak menentu. Ada sebut RM10 bilion, lepas itu RM15 bilion atau RM18 bilion.

“Ini apa. Nak minta diam dan sokong,” katanya.

Anwar juga meminta kerajaan jangan memperbodohkan rakyat dengan skandal DNB.

Katanya, rakyat kini sedang susah dan berdepan dengan kenaikan harga barang.