‘Agamawan sekarang ikut agama yang dibawa lebai-lebai’

 


Presiden AMANAH, Mohamad Sabu kecewa apabila golongan agamawan pada masa ini tidak lagi menjuarai isu keadilan sosial.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berpendapat, golongan agamawan sepatutnya lebih terkehadapan dalam memerangi isu berkaitan korupsi dan ketidakadilan.

“… sekarang ini agamawan tidak ikut lagi agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad sebaliknya ikut agama yang dibawa lebai-lebai… sebab itu keadilan sosial tidak menjadi keutamaan, bukan ulama yang bercakap.

“Hal-hal nepotisme dan korupsi tidak dibawa oleh ulama,” katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Buku “Juang Mat Sabu” di ibu negara hari ini.

Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden Pas turut menyifatkan keadaan rakyat di kebanyakan negara Islam pada masa ini amat menyedihkan.

“Pelarian-pelarian Islam menumpang kasih di negara Barat selepas para agamawan tidak mengikut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

“Kita menyerang ideologi yang lain (komunisme dan sosialisme), tapi gantinya tidak dikemukakan. Islamis gagal di seluruh dunia.

“Negara Islam melahirkan ramai pelarian. Jurang kaya dan miskin begitu ketara. Perjuangan keadilan sosial ditinggalkan, tidak diamalkan di dunia Islam,” kata Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan itu lagi.