Lanjutan pendedahan di sidang DUN Perak mengenai kenaikan harga
barang pada peringkat pemborong dan peruncit tetapi kekal murah di peringkat
petani, ADUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad mencabar Exco Kerajaan
Negeri Perak, Razman Zakaria untuk berdebat.
Katanya, surat cabaran debat telah pun dihantar kepada Exco
Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan semalam dan beliau mengharapkan
pemimpin Pas itu berani untuk berhadapan dan menjelaskan lebih lanjut jawapan
yang beliau diberikan dalam sidang DUN.
"Saya kesal jawapan tak bertanggungjawab Razman. Oleh itu
kita telah hantar surat jemputan debat isu kenaikan harga barang, sudah ada cop
akuan terima pejabat Exco.
"Saya mencabar YB Razman selaku Exco berdebat secara terbuka
dengan saya berkenaan harga barang.
"Dalam debat nanti saya nak bagi cadangan atau kaedah yang
perlu diambil Exco bagi penurunan harga barang," katanya dipetik.
Arafat menyerahkan kepada Razman menentukan tarikh, masa dan
lokasi majlis debat berkenaan.
Kelmarin, Razman dalam sidang DUN Perak berkata, selagi mana
manusia hidup isu harga barang naik tidak akan selesai. Beliau menggesa rakyat
menerima sahaja hakikat isu kenaikan harga barang.