ADA YANG JADI PROKSI ATOK SAKA LAGI KAH? ADAKAH PKR BERAN UNTUK BERTANDING ATAU BERGERAK SENDIRIAN ?

 

Akhirnya pemimpin kanan PKR dan MP Pasir Gudang mengakui apa yang ramai daripada kita di medsos kata mengenai proksi-proksi Atoksaka yang bersarang di dlm Amanah dan DAP yang cuba mensabotaj dan melemahkan DSAI serta memastikan PH xmenang di dalam PRU15...

May be an image of 2 people
SURAT TERBUKA
KEPADA ANGGOTA DAN PARA PENYOKONG KEADILAN DI SELURUH NEGARA
Sekarang adalah masa yang sukar bagi parti kita Parti Keadilan Rakyat (Keadilan). Kita perlu tenang dan tabah. Ini masa ujian bagi Keadilan.
Kita jangan marah-marah apabila ada Adun DAP di Bentong, Pahang yang desak Presiden kita, Saudara Anwar Ibrahim meletakkan jawatan selepas Pakatan Harapan (PH) kalah dalam Pilihanraya Negeri Melaka.
Kita anggota dan para penyokong Keadilan jangan kecil hati apabila Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mengemukakan saranan bahawa Anwar Ibrahim bukan lagi calon tunggal Perdana Menteri PH bagi Pilihanraya Umum ke 15 tidak lama lagi.
Kita dengar dan hadham ucapan-ucapan pemimpin DAP itu dengan fikiran terbuka.
Kita dengar juga pemimpin muda Amanah yang hendak jemput Pejuang, MUDA dan Warisan menyertai khemah PH. Mereka tidak yakin lagi pada kekuatan Keadilan dan pemimpin Keadilan.
Kita masih dengar lagi gagasan dari beberapa pemimpin PH di kalangan DAP dan Amanah masih mahu PH bergabung lagi dengan Dr. Mahathir Mohamad.Mereka sengaja hendak melemahkan Keadilan dan Anwar Ibrahim.
Sekarang kawan-kawan kita dalam PH tidak anggap lagi Parti Keadilan penting. Mereka sudah tidak sudi menggunakan logo Parti Keadilan untuk jadi logo bersama PH dalam Pilihanraya Negeri Melaka.
Dalam Pilihanraya Sarawak, masing-masing parti akan menggunakan logo parti masing-masing.
Setiausaha Agung DAP Saudara Lim Guan Eng sendiri dilaporkan media mengumumkan dalam PRU-15 PH akan menggunakan logo rasmi PH. Ertinya Setiausaha Agung DAP menolak logo Keadilan.
Pengumuman tentang apa logo yang PH akan gunakan dalam PRU15 nanti, diumumkan terlebih dahulu dan terlebih awal bukan oleh Presiden kita Sdr Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH tetapi oleh Lim Guan Eng. Presiden kita dilanggar begitu sahaja.
Apabila PH kalah di Melaka, Presiden kita, Anwar Ibrahim jadi mangsa dikritik
hebat
oleh pemimpin-pemimpin DAP, Amanah serta anggota mereka.Disuruh berundur. Kita dengar suara kurang sopan, angkuh dan sombong dihamburkan terhadap Presiden kita.
Di Melaka, semasa Pilihanraya Negeri tersebut, bukan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim yang umumkan YB Adly sebagai calon Ketua Menteri Melaka. Tetapi Lim Guan Eng yang umumkan. Sekali lagi Presiden kita tidak dihormati.
Mungkin DAP dan Amanah sudah terlalu kuat sekarang dan mereka tidak anggap Keadilan itu penting. Mungkin bagi anggapan mereka Anwar Ibrahim dan Keadilan sudah hilang daya tarikan dan sokongan rakyat.
Kita tidak boleh marah-marah pada mereka. Kita pun faham peribahasa Melayu, “ habis madu sepah dibuang”. Begitulah nasib Keadilan dan Presidennya Anwar Ibrahim.
Kepada anggota dan para penyokong setia Parti Keadilan Rakyat, kita binalah kekuatan parti kita sendiri. Orang di luar Keadilan boleh desak Anwar Ibrahim letak jawatan sebagai Pengerusi PH atau Ketua Pembangkang. Kalau itu kehendak mereka sangat, buanglah Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH atau Ketua Pembangkang. Lepas itu buanglah Parti Keadilan dari PH. Kita hendak tengok adakah mereka berani.
Tetapi mereka tidak boleh jatuhkan Anwar sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat. Anwar dipilih sebulat suara oleh anggota Keadilan dalam pemilihan secara demokrasi.
Kalau mereka sudah tidak sudi menerima kita, apa yang kita boleh buat. Kita masuklah PRU15 nanti secara “solo”. Kita gunakan logo parti kita sendiri.Kalau mereka hendak terajang Keadilan dari PH, terajanglah, jika mereka sudah angkuh sangat.
Kita Parti Keadilan pernah tinggal satu kerusi sahaja di Permatang Pauh dalam Pilihanraya Umum tahun 2004. Orang kata, “habis dah Keadilan”. Tetapi Parti Keadilan bangkit lagi dalam PRU tahun 2008, 2013 dan 2018.
Keadilan sangat sayang pada Pakatan Rakyat dulu dan Pakatan Harapan sekarang. Apabila Dalam PRU13, Lim Kit Siang dan DAP rampas kerusi Parlimen Gelang Patah (sekarang Iskandar Puteri), Anwar Ibrahim terpaksa pujuk anggota Keadilan di Johor supaya rela serahkan kerusi Gelang Patah kepada Lim Kit Siang dan DAP untuk memenuhi kehendak DAP dan Lim Kit Siang. Anwar Ibrahim tidak mahu Pakatan Rakyat ketika itu pecah.
Lapan tahun kemudian apabila berlaku Pilihanraya Negeri Melaka pada bulan November 2021 ini, seluruh anggota Keadilan dan pimpinan di semua peringkat mahu supaya logo Keadilan digunakan, tetapi DAP dan Amanah berkeras menolak logo keadilan. DAP dan Amanah berkeras mahu PH gunakan logo PH.
Anwar Ibrahim tidak mahu PH pecah kerana soal logo. Presiden Keadilan itu sanggup sekali lagi menentang kehendak para anggota dan pemimpin Keadilan di semua peringkat organisasi demi menjaga supaya PH tidak pecah.
Demikian pengorbanan Anwar Ibrahim untuk menjaga PH supaya tidak retak dan tidak pecah. Namun apabila kalah, Anwar Ibrahim disuruh letak jawatan. Anwar Ibrahim, kata pemimpin DAP tidak lagi akan jadi calon Perdana Menteri PH dalam pilihanraya umum akan datang.
Kepada anggota dan para penyokong setia Parti Keadilan Rakyat saya menyeru supaya bersiap sedia.
Kita tidak akan meninggalkan PH. Kita tidak akan keluar dari PH.
Tetapi kalau kawan-kawan kita dalam PH hendak tolak kita dari PH, hendak singkirkan kita dari PH, hendak perlekehkan parti kita dan Presiden kita, ketika itu bersedialah kita untuk masuk Pilihanraya Umum ke15 bersandarkan kekuatan kita sendiri, walaupun terpaksa berseorang diri.
Kita tidak akan mengemis supaya Presiden kita jadi calon Perdana Menteri PH. Kita juga tidak akan mengemis supaya PH gunakan logo parti kita.
Waktu itu biarlah kita seorang sahaja yang gunakan logo kita sendiri dan masuk pilihanraya umum bersendirian.
Bersedialah kemungkinan ini.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Anggota Biasa Parti Keadilan Rakyat
01 Disember 2021 (Rabu)