Hasimi Muhamad
November 1, 2021
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan seolah-olah mengenakan hukuman tidak sama rata khususnya kepada golongan 'maha kaya'.
KUALA LUMPUR: Isu wanita warga asing yang dikenali sebagai 'Karen' dikompaun RM3,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) mendapat perhatian di Dewan Rakyat pada Isnin.
Perkara itu dibangkitkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) ketika membahaskan Bajet 2022, dengan menyifatkan berlaku amalan 'double standard',
Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, kerajaan seolah-olah mengenakan hukuman tidak sama rata khususnya kepada golongan 'maha kaya'.
Sebaliknya, kata Syed Saddiq, apabila melibatkan rakyat tempatan dari golongan sederhana atau bawahan dan warga asing dari negara tertentu, denda yang dikenakan adalah terlampau 'maha kaya'.
"Kenapa saya bangkitkan isu ini kerana apabila ada seorang anak muda yang hanya menurunkan mask dalam tempoh masa yang singkat terus dikenakan sama RM10,000.
"Peniaga Melayu di luar bandar dikenakan saman RM50,000. Saya tahu akan ada pihak kerajaan berkata, 'Syed Saddiq ini adalah undang-undang, kita bukan lagi dalam situasi darurat'.
"Tetapi ini adalah perbezaan yang besar. Kalau kita lihat tahun lepas warganegara Bangladesh atau Nepal berkulit hitam apabila mereka ingkar SOP, bukan sahaja dikenakan denda yang untuk orang 'maha kaya', tetapi terus diusir keluar dari Malaysia.
"Tetapi apabila kena kepada seseorang warga asing yang mungkin datang dari kalangan maha kaya, terus dibela hanya dikenakan RM3,000. Tetapi warga negara lain atau rakyat Malaysia sendiri, tindakannya jauh lebih teruk," katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan berkata wanita warga tersebut dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,500 di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) ( Pelan Pemulihan Negara) 2021 bagi dua kesalahan.
Sebelum itu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang 'Minah Saleh' yang dilihat bertengkar dengan pengawal keselamatan selepas cuba memasuki pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC) tanpa memakai pelitup muka.
Itu merupakan kejadian kedua selepas wanita yang sama sebelum ini turut didakwa tidak memakai pelitup muka dan menimbulkan kekecohan di sebuah butik mewah di pusat beli-belah KLCC.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan mempunyai hak dan wajar mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang ingkar SOP.
Bagaimanapun, realitinya di Malaysia ia berbeza-beza mengikut 'darjat', tambahnya.
"Jika kamu rakyat Malaysia golongan pertengahan dan bawahan, pembelaan tidak akan ada sewajarnya. Jika kamu warga asing, diskriminasinya ikut kulit kamu atau negara mana kamu datang.
"Perkara ini jelas salah dan harus ditentang habis-habisan. Apa signal yang kita cuba hantar kepada komuniti antarabangsa ialah di Malaysia, peraturan perundangan adalah berbeza mengikut individu. Ini berkait rapat dengan bajet kerana ini isu good governance," ujarnya lagi..