November 25, 2021
Saya
tersenyum lebar malah ketawa ketika membaca kenyataan Setiausaha Agung PAS,
Takiyuddin Hassan, 23 November lalu. Menurut Takiyuddin, Jemaah Menteri yang
tentukan bila PRU15 akan diadakan. Bukan parti politik. Saya ketawa bukan
menafikan kata-kata beliau.
Kata
Takiyuddin, parti politik tidak boleh menentukan bila PRU15 perlu dilaksanakan
kerana sebarang keputusan mengenai pilihan raya akan diputuskan oleh Jemaah
Menteri berdasarkan Perlembagaan, memandangkan negara masih lagi dalam fasa
pandemik Covid 19.
Itu
betul. Malah pada waktu tidak ada wabak Covid-19 pun (atau apa jua wabak)
Jemaah Menteri lah yang menentukan bila pilihan raya perlu diadakan. Kerana
undang-undang utama Malaysia itu digubal pada 1956, tentunya tanpa mengambil
kira wabak. Lagi pun, tidak siapa yang menjangka wabak akan melanda. Ringkasnya
“hujan atau taufan” soal pilihan raya diputuskan Jemaah Menteri. Dalam lain
perkataan, kerajaan.
Saya
kira Takiyiddin merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan,
bahawa PRU15 perlu diadakan dalam masa terdekat berikutan kemenangan BN-Umno
pada PRN Melaka tempoh hari. Menurut Tok Mat, perkara itu sudah dimaklumkan
kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Jelas,
Setiausaha Agung PAS itu menyifatkan kata-kata Timbalan Presiden Umno satu
cadangan “rasmi” Umno kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno. Atau
beliau mungkin mentafsirkan kenyataan Timbalan Presiden Umno langkah Umno mahu
menentukan bila PRU15 diadakan. (Timbalan Presiden bahkan Presiden Umno sendiri
bukan anggota Jemaah Menteri).
Tetapi
apabila beliau sendiri mengakui keputusan PRU hanya boleh dibuat Jemaah
Menteri, bukan parti politik, saya garu kepala. Bukankah Jemaah Menteri
semuanya datang daripada parti politik? Bukankah mereka orang parti? Ini yang
buat saya ketawa.
Saya
faham apa yang dibayangkan Takiyuddin iaitu bukan orang Umno sahaja yang duduk
dalam Jemaah Menteri. Ada juga orang Bersatu. MCA, parti Sabah dan Sarawak, dan
juga PAS. Oleh itu apa yang ‘mungkin’ mahu dikatakan Takiyuddin ialah pendapat
mereka juga mesti diambil kira bukan sahaja pandangan Umno. Mereka juga ada
suara dalam menentukan keputusan berhubung PRU.
Betul
kerana kita kerap diberitahu Jemaah Menteri buat keputusan berdasarkan
“konsensus”. Namun pada waktu dan perkara penting tertentu Perdana Menteri
mempunyai “the final say” atau hak buat keputusan muktamad.
Pada
masa lampau parti politik yang menguasai kerajaan memberi mandat kepada ketua
mereka yakni Perdana Menteri membuat keputusan penting itu. Perdana Menteri
akan mendengar semua pandangan orang partinya dalam dan luar kerajaan, “think
tank”, serta mengambil kira keadaan semasa iklim politik ketika itu.
Dalam
sistem politik kita, tarikh pilihan raya tidak ditetapkan dan diumum awal
sehingga memberi “advantage” kepada pemerintah. Lazimnya Perdana Menteri akan
pilih waktu partinya di “kemuncak” kekuatan sementara parti lawan berada pada
“kemuncak” kelemahan. Setelah mengambil kira semua percaturan, Perdana Menteri
membuat keputusan.
Itu
amalan lazim di negara ini tidak kira sama ada satu parti atau satu gabungan
politik menguasai kerajaan. Cuma kali ini kerajaan merangkumi wakil pelbagai
parti dan gabungan politik yang berbeza ideologi. Ini menyulitkan. Apatah lagi
ada parti kawan di sini, tapi lawan di sana.
BN-Umno
sekarang memang merasa mereka dalam keadaan selesa untuk menghadapi PRU15
setelah kemenangan bergaya di Melaka. Tetapi tidak untuk PAS dan Bersatu.
Namun
seperti dikatakan tadi Perdana Menteri mempunyai kuasa penentu dan beliau orang
Umno. Tidaklah perlu kita dingatkan bahawa di Melaka, Bersatu dan PAS sama-sama
menggunakan lambang Perikatan Nasional menentang BN-Umno. Sukar untuk Umno
melupakan itu.
Beralih
pula kepada isu hubungan BN-PN terutama PAS kerana Bersatu bagai sudah berpatah
arang berkerat rotan dengan Umno. Itu setakat sekarang. Kita tahu dalam politik
semua boleh terjadi.
Lantas
bercakap mengenai PAS, imbas kembali kata-kata penganalisis politik yang saya
pernah petik untuk artikel-artikel lalu berhubung PRN Melaka dan pendirian
parti itu menggunakan lambang PN di bumi Hang Tuah itu.
“PAS ni
boleh ‘konar’ bila-bila masa sahaja. Tidak mustahil kalau semua calon PN di
Melaka kalah apa lagi kalau calon PAS guna lambang PN kalah dan kebetulan Umno
menang dan dapat kuasa Melaka, PAS akan berpatah balik sebab bagi PAS tindakan
begitu dianggap politik sejahtera,” kata penulis politik veteran Mohd Sayuti
Omar kepada saya 2 November lalu.
“Soal
memilih PN berbanding Muafakat Nasional, keputusan PRN Melaka akan menguji
kewibawaan PAS. Sekiranya PAS membuat pusingan U dalam keputusan besar mereka
ini akan memperlihatkan PAS tidak setia dengan Bersatu,” kata Pengarah
Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, kepada saya sehari selepas PRN
Melaka.
Oktober
lalu, Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, dipetik media berkata “saya
jangka PAS akan kembali kepada MN jika PN kalah teruk di Melaka.”
Itu
sebelum PRN Melaka.
Tiga
hari selepas PRN Melaka, kata Takiyuddin apabila ditanya wartawan sama ada PAS
akan kembali kepada ‘penyatuan ummah’ bersama Umno: “Dalam politik ini,
tujuannya untuk capai kestabilan dalam negara. Apa sahaja amalan yang bawa
kestabilan kepada negara adalah satu amalan yang baik bagi saya.”
Jika
itu samar-samar, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, lebih jelas. Kata beliau, akar
umbi PAS diakui lebih memilih untuk bersama MN dan usaha kerjasama dengan Umno
diharap dapat terus diperkuatkan lagi menjelang PRU akan datang.
Maksudnya,
pimpinan PAS akui dan mungkin juga “mesti” akur dengan hasrat akar umbi. Yang
peliknya hasrat akar umbi diakui selepas kekalahan di Melaka bukan sebelumnya.
Apa
pun, menurut Hashim, PAS tidak akan meninggalkan PN (Bersatu) demi agenda
penyatuan ummah, meskipun akar umbi PAS cenderung MN (Umno).
Walhasil balik asal nampaknya!