Pengundian awal hari ini di DUN Lendu dicemari insiden agen calon
Pakatan Harapan (PH) dihalang masuk oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) biar pun
telah menunjukkan dokumen dikehendaki
Menurut Calon DUN Lendu, Mohamad Asri Ibrahim, tindakan tidak
membenarkan agen calon masuk ke tempat mengundi di Balai Polis Alor Gajah itu
dan pengundian diteruskan tanpa agen calon merupakan satu kesalahan di bawah
Akta Kesalahan Pilihan Raya.
"Saya calon bertanding di Pilihan Raya Negeri Melaka, DUN
Lendu membuat laporan polis terhadap Ketua Tempat Mengundi kerana tidak
membenarkan Ejen Tempat Mengundi yang mewakili saya masuk bertugas di pusat
mengundi awal, di Balai Polis Masjid Tanah bermula jam 8 pagi.
"Sedangkan agen saya telah membawa dokumen mencukupi, iaitu
surat lantikan yang ditandatangani oleh agen atau wakil calon, Borang A atau
Borang Sumpah Kerahsiaan yang ditandatangani oleh Pengurus Pilihan Raya dan Pas
Ejen Tempat Mengundi.
"Walaupun wakil calon datang memberi penjelasan kelayakan
ejen tersebut untuk bertugas namun KTM masih enggan membenarkan. Pengundian
tetap diteruskan tanpa agen saya. KTM meminta satu lagi dokumen iaitu surat
lantikan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang mana surat itu sebenarnya
tidak perlu," katanya
Asri menunjukkan laporan polis KTM tidak membenarkan agen calon masuk ke pusat mengundi awal
Sehubungan itu, Asri mendakwa beliau telah dikhianati oleh KTM dan
mahu pihak polis melakukan penyiasatan segera serta membawa pihak yang
melakukan kesalahan ke muka pengadilan.
"Kita tak mahu SPR jadi alat pihak tertentu untuk mengekalkan
kuasa.
"Ini penting untuk SPR ambil sebagai perkara penting kerana
proses undi awal ini amat penting kepada pasukan beruniform mempunyai
kesedaran, tetapi kalau proses (pengundian) diganggu maka akan terjadi
penyelewengan dan sebagainya.
"Saya pun pernah jadi KTM, saya pernah jadi wakil calon.
Tolong jangan jadi pekakas dan diperalatkan dengan perkara macam ini. Saya
berharap isu ini tidak berlaku pada 20 November nanti," kata Asri lagi.
Dalam pada itu, wakil calon, Rosli Ali yang membuat laporan polis
berkenaan insiden terbabit kesal dengan sikap KTM tidak membenarkan agen calon
bertugas selepas menunjukkan dokumen yang sah.
"Pada pagi ini kita menghadapi masalah berkenaan petugas kita
tidak dibenarkan masuk ke tempat mengundi awal di Balai Polis Masjid Tanah di
mana petugas kita mengatakan KTM pegawai SPR tidak membenarkan masuk atas
alasan kita tak ada watikah atau kebenaran untuk petugas
"Situasi sama juga berlaku di Depoh Gudang Peluru di Sungai
Udang akan tetapi kita telah menyerahkan watikah dan KTM di sana membenarkan
PACA kita masuk, tetapi di balas polis ini tidak dibenarkan
"Pagi ini kami membuat laporan polis berkenaan hal tersebut,"
katanya.