BN tak perlu ambil dua ADUN PN sertai
Kerajaan Melaka: Mat Hasan
Tidak
ada keperluan untuk membawa bersama dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN)
dalam pembentukan Kerajaan Melaka, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional
(BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Kalau
bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu makan bersama,” katanya pada
sidang media selepas Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan,
malam tadi.
Bagaimanapun,
Timbalan Presiden UMNO itu berkata wakil rakyat PN boleh dibawa bersama
sekiranya BN tidak mempunyai kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Kalau
kita (BN) tidak cukup kerusi betul la… tapi kita sudah berlebih kerusi. Dalam
kalangan kita juga sudah berlebih nak lantik Exco, jadi apabila membuat
sesuatu, justifikasi mesti ada.
“Bagi saya tidak ada keperluan,” katanya mengulas kemenangan
BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.
Pada PRN itu, BN menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) yang dipertandingkan, lima oleh Pakatan Harapan dan dua dimenangi
PN.
Dua calon PN yang menang dalam PRN itu ialah Dr Mohd Aleef
Yusof di DUN Sungai Udang dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (DUN Bemban).
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali,
dilaporkan akan berbincang dengan pucuk pimpinan BN, sama ada dua Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) PN boleh bersama dalam pembentukan kerajaan negeri yang
baharu itu, atau sebaliknya.
Beliau berkata, walaupun pentadbiran Kerajaan Persekutuan
menjalinkan kerjasama dengan PN, senario PRN Melaka yang menyaksikan BN
bertanding secara solo, perlu diambil kira.