Tiga
faktor PH tumbang dalam PRN Melaka
Oleh AZLAN MUSYABRI / November
30, 2021
Keputusan Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini telah mengejutkan banyak pihak atas
kemenangan besar Barisan Nasional (BN) mendapat dua pertiga majoriti iaitu
sebanyak 21 kerusi DUN.
Begitu juga kekalahan
teruk Pakatan Harapan (PH) yang tinggal hanya lima kerusi DUN berbanding 15
kerusi DUN pada PRU14 yang lalu serta wajah baharu Perikatan Nasional (PN) yang
berjaya merangkul dua kerusi DUN.
Analisis kali ini akan
membincangkan arus perubahan yang berlaku dalam kalangan pengundi PH, menyentuh
tiga aspek iaitu sokongan mengikut kaum, peratusan keluar mengundi dan sokongan
mengikut umur.
Analisis sokongan PH
mengikut kaum
Dari
perspektif sokongan pengundi, PH mendapat jumlah undi sebanyak 114,457 (35.8%)
berbanding BN sebanyak 122,741 undi (38.4%), PN sebanyak 77,731 undi (24.3%)
dan parti lain sebanyak 4,760 undi (1.5%).
Berdasarkan
analisis dan perbandingan secara regresi dan agregat, didapati bahawa berlaku
pengurangan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu yang mengundi PH yang
mendapat hanya 14.3% sokongan Melayu berbanding 27.3% pada PRU14.
Pengundi
Cina kekal sokongan mereka dan mengundi PH sebanyak 88.0% sokongan berbanding
89.3% pada PRU14 sementara pengundi India dan lain-lain menunjukkan pola
menurun dengan mengundi PH sebanyak 47.0% berbanding 57.5% pada PRU14.
Kaum
PRU14 PRN Melaka
Perbezaan
Melayu
27.3% 14.3%
-13.0%
Cina
89.3%
88.0% -1.3%
India & Lain-lain 57.5%
47.0% -10.5%
Peratusan keluar mengundi
rendah – Penyokong PH tidak keluar mengundi?
Dari
perspektif keluar mengundi, daripada 495,195 jumlah pengundi, sebanyak 319,689
undi diterima, menjadikan peratus keluar mengundi 64.6%.
Analisis
secara regresi di peringkat negeri menunjukkan pengundi Melayu lebih ramai
keluar mengundi, dengan peratus keluar mengundi sebanyak 72.3%. Sementara itu,
pengundi Cina dan India/Asli tidak ramai keluar mengundi, masing-masing dengan
peratusan sebanyak 52.4% dan 56.1%.
Peratusan
ini kelihatan bersamaan di DUN-DUN yang ramai Melayu seperti Tanjung Bidara
(71.5%) dan Serkam (72.8%), dan juga di DUN-DUN yang ramai Cina seperti Kota
Laksamana (58.1%) dan Bandar Hilir (56.2%).
Tampaknya
faktor takut kepada peningkatan kes COVID-19 memberi kesan kepada orang Cina
dan India untuk tidak turun mengundi, dan seterusnya memberi kesan negatif
kepada undi PH, meskipun sokongan mereka terhadap PH masih sama.
Sebagai
contoh, di DUN Duyong, pada PRU14, undi Cina kepada PH adalah sebanyak 4,763
undi tetapi pada PRN undi Cina hanya 3,264 undi.
Jika
hanya separuh lagi daripada 1,500 pengundi ini turun mengundi, pasti DAP dapat
mengekalkan kerusi Duyong ini, namun itu tidak berlaku dan menyebabkan
kehilangan kerusi ‘selamat’ PH, apatah lagi apabila menentang UMNO dan PAS.
Kejatuhan
mendadak undi Melayu kepada PH ini memerlukan PH untuk menilai semula
keberadaan mereka dalam arena politik ini dan penerimaan pengundi kepada agenda
yang dibawa.
Analisis
sokongan PH mengikut umur – PH hilang undi anak muda?
Dari
segi umur pula, pengundi muda dan pertengahan menunjukkan pola penurunan
sokongan kepada PH yang drastik, masing-masing penurunan sebanyak 22.5% dan
17.2% dengan mendapat sokongan 32.5% dan 36.0% berbanding sokongan pada PRU14
sebanyak 55.0% dan 53.2%.
Pengundi
tua pula mengekalkan sokongan mereka pada PRN kali ini sebanyak 42.3%
berbanding 43.2% pada PRU14 yang lepas.
Kategori Umur PRU14
PRN Melaka Perbezaan
Tua
43.2% 42.3%
-0.9%
Pertengahan 53.2%
36.0% -17.2%
Muda
55.0% 32.5%
-22.5%
Undi
muda yang dahulunya menjadi saluran utama penyumbang undi PH kini sudah
kebocoran undi.
Namun,
faktor pengundi luar juga memberi kesan, yang mana kebanyakan dari mereka yang
tinggal di luar Melaka tidak turun mengundi, dengan peratusan keluar mengundi
di saluran muda hanya 58%.
PH
kini sudah hilang tarikan untuk undi muda. Dengan pelaksanaan Undi 18 pada PRU
ke-15 akan datang, jika masih berlarutan, undi muda ini boleh menjadi penentu
utama kepada kemenangan mana-mana parti bertanding, dan bukan lagi PH.
Ke
mana pergi undi PH? Bagaimana PN dapat memberi saingan yang sengit meskipun
masih baharu?
Apakah
keputusan PRN ini dapat memberikan gambaran keputusan PRU-15 yang akan datang?
Nantikan analisis seterusnya yang akan menyentuh seputar isu-isu ini.
*AZLAN MUSYABRI merupakan Penganalisis
Data, Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).