ADUN DAP perlu mohon maaf, kepimpinan Anwar diperlukan menuju PRU 15 - MPN Terengganu
Kepimpinan Pengerusi Pakatan
Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap diperlukan menuju Pilihan Raya
Umum (PRU) ke 15 yang lebih mencabar.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu, Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif, sikap ADUN DAP Lee Chin Chen yang meminta Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang berikutan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka baru baru ini begitu mengecewakan.
Katanya, Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, mendesak agar ADUN DAP itu memohon maaf di atas ketelanjuran tersebut.
"MPN Terengganu menasihatkan kepimpinan tertinggi DAP supaya memberi perhatian serius terhadap sikap angkuh ADUN Bilut berkenaan. Pimpinan DAP sewajarnya lebih berhemah dan lebih mementingkan solidariti, perpaduan serta keharmonian PH daripada mengeluarkan kenyataan yang mengundang bibit perpecahan atau menyinggung perasaan anggota parti rakan yang lain.
"Sesunggunnya PH masih dan amat memerlukan kepimpinan Datuk Seri Anwar dalam mengharungi perjalanan dan perjuangan yang belum selesai menuju PRU15. Pengalaman, pengetahuan dan kearifan Datuk Seri Anwar dalam selok-belok politik tanah air dan idealisme perjuangan reformasi yang dibawanya masih relevan dan ternyata lestari," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syed Mohd Amin, KEADILAN dan khususnya Anwar selama ini telah banyak berkorban dan sanggup dikecam kerana mempertahankan DAP yang dianggap chauvinis dalam kalangan masyarakat Melayu.
Katanya, pemimpin DAP seharusnya berterima kasih kepada kesanggupan KEADILAN memikul beban “chauvisnisme dan ekstriminisme ras” yang dilabelkan oleh parti lawan.
"KEADILAN sentiasa menjadi “penyerap hentakan” dari serangan pihak Umno dan Pas terutama dalam konteks politik Terengganu. DAP juga sewajarnya lebih peka dan sedar dengan persekitaran politik Malaysia yang sangat sensitif terhadap kebiadapan dan keangkuhan.
"Justeru MPN Terengganu menuntut ADUN Bilut memohon maaf kepada barisan kepimpinan PH atas sikapnya yang boleh memecah dan melemahkan solidari sesama komponen.
"Sebaiknya ruang masa pasca-PRN Melaka 2021 ini digunakan oleh semua peringkat kepimpinan dan jentera PH untuk menilai kembali kelemahan dan membuat penambahbaikan serta anjakan paradigma dalam mendepani cabaran PRU15 yang akan datang," katanya lagi.