Kerajaan akan memperkenalkan
program Smart Sawah yang mana beberapa syarikat pertanian besar akan dibenarkan
mengusahakan sawah sawah di beberapa kawasan seluruh negara mengambil alih
peranan pesawah sedia ada.
Ahli Parlimen Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail (PH- Kulim Bandar Baharu) bertanya di manakah projek
perintis yang boleh dinilai kejayaan untuk mengimplimentasikan program Smart Sawah
di peringkat kebangsaan.
"Smart Sawah program
berskala besar. Saya perlu YB Menteri berkongsi sedikit tentang tiga perkara.
Pertama, bila kementerian pilih syarikat peneraju, ada 11 atau 12, bolehkah
diterangkan apakah kriteria yang digunakan kementerian untuk memilih syarikat
ini? Apakah ada pengalaman dan di mana pilot projek (perintis) yang mereka buat
yang memberikan success stories 7 tan satu hektar?
"Saya tak fikir dia
mulakan roll out 150,000 hektar.
"Kedua, apa sebenarnya
berlaku di bawah, apakah sesi libat urus telah dibuat dengan Pertubuhan
Peladang Negeri, Peladang Kawasan, sebab mereka ini watak penting untuk
menjayakan projek berskala besar.
"Boleh tak berkongsi apa
jadi peranan Nafas apabila projek berskala besar ini berlaku? Nafas juga
menjaga kepentingan ratusan ribu pesawah," katanya dalam sesi bahas Dewan
Rakyat sebelah petang.
Timbalan Menteri Pertanian dan
Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah, menjawab pihak beliau telah
mengenalpasti 12 syarikat yang telah membuktikan kesungguhan mereka. Bukan
sahaja mereka dapat memajukan kawasan tetapi boleh menghasilkan keluaran padi
melebihi 9 tan sehektar.
Projek perintis dilakukan di Sabak
Bernam dan beberapa kawasan. Katanya, syarikat yang diberi peluang melaksanakan
Smart Sawah juga mempunyai teknologi dan kewangan kukuh seperti FGV, Bernas dan
beberapa yang lain.
Jawapan yang kurang memuaskan
itu menyebabkan Saifuddin mencelah dan bertanya, mengapakah syarikat tersebut
mahu mengusahakan Smart Sawah di kawasan yang telah berhasil tetapi tidak di
kawasan tanah terbiar atau sebagainya.
"Kalau keupayaan syarikat
peneraju itu hebat dari segi dana, keupayaan, pengalaman, kenapa tidak mereka
ini diminta mengusahakan tanah sawah terbiar atau tanah sawah yang hasilnya
rendah? Kenapa mesti diberikan kawasan sedia ada," katanya.
Timbalan Menteri menjawab,
syarikat terbabit juga akan memajukan tanah di luar kawasan jelapang padi
termasuklah di Melaka.