Nie
Chin mohon maaf gara-gara ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’
By
-
9 November 2021
Poster
kempen Nie Chin tersilap bahasa dan dipadam dari layar Facebooknya.
KUALA LUMPUR – Perkataan ‘hawau’ tiba-tiba menjadi sebutan
popular di Melaka selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lompat
parti sehingga menyebabkan kerajaan negeri itu tumbang dan berlaku Pilihan Raya
Negeri (PRN).
Mengikut kamus, perkataan ‘hawau’ membawa maksud kata makian
iaitu ‘celaka’ dan sebutan itu kemudian menjadi gurauan dalam kalangan pemimpin
serta ahli politik.
Tidak ketinggalan untuk bergurau dengan loghat Melaka itu, Ahli
Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang memuatnaik poster kempen PRN dengan tersilap
menulis ‘lahabau’.
Maksud ‘lahabau’ pula ialah tidak berguna, tidak boleh diharap,
haprak.
Tanpa menyedari kesilapan berlaku, sebaik poster “Lahabau
Melaka, Jom Undi” dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, beliau diserang
bertalu-talu oleh netizen.
Bagaimanapun, poster itu kemudian dipadamkan dan diganti dengan
kenyataan mohon maaf dari beliau.
Dalam permohonan maaf atas kesilapan bahasa itu, bekas Timbalan
Menteri Pendidikan dari bekas kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu memberi alasan
larangan ketat berkempen pada PRN Melaka memaksakan beliau melakukan melalui
media sosial.
Katanya, dalam keghairahan kempen media sosial itu, ramai
petugas PH khususnya DAP, hampir tidak cukup tidur dalam usaha menyediakan
bahan kempen.
“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk
diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui
media sosial.
“Saya cuma ingin berkempen melalui frame percuma
yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan
tersebut.
“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas
kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah
menggunakan bahasa,” katanya.
Beliau berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam
memuatnaikkan bahan-bahan kempen media sosial untuk PRN Melaka.
“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya
rakyat dan pengundi Melaka,” katanya.- MalaysiaGazette