Ahli Parlimen Sepang, Hanipa
Maidin mengakui ada pihak yang cuba memintanya menyalahkan Datuk Seri Anwar
Ibrahim di atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri Melaka.
Katanya, sesiapa pun berhak
mengkritik hatta sepedas mana pun ke atas para pimpinan PH termasuk Anwar
akibat kekalahan tersebut.
"Namun, jika anda tanya
pendapat saya, adakah Anwar wajar disalahkan dan diminta berundur dari memimpin
PH, maaf, saya tidak mampu untuk bersetuju dengan anda..sekurang kurangnya untuk
masa kini.
"Ya, dengan hormat, agak
"fair" untuk mengatakan bahawa Anwar ada "saham" bagi
kekalahan PH dan kesemua calon KEADILAN di Melaka, tapi harus diingat segala
keputusan PH bukan dilakukan oleh Anwar seorang sahaja," katanya.
Sebaliknya beliau menyifatkan
PH sentiasa dipandu atas keputusan kolektif.
"Maka menyalahkan hanya
seorang individu sahaja sedangkan sebarang keputusan PH bukan bersifat
keputusan tunggal sebaliknya, ianya adalah keputusan kolektif, bagi saya, maaf
cakap, adalah tidak adil.
"Mungkin ada yang akan
segera melabel saya terlalu pro-Anwar.Saya tidak tersinggung sedikit pun jika
ada yang berperasaan sebegitu. Ia adalah kritikan yang adil terhadap saya yang
mempertahankan Anwar.
"Sejak dahulu, saya
sentiasa berusaha untuk mendidik diri saya cuba berlaku adil kepada sesiapa pun
hatta sebenci mana pun saya kepada sesiapa pun. Sudah tentu sebagai insan yang
lemah pendirian saya juga tidak sunyi dari kelemahan," katanya.
Oleh itu, katanya, beliau
merasakan tidak adil untuk hanya menyalahkan Anwar atas kekalahan PH dan
KEADILAN di PRN Melaka.
"Saya, secara peribadi,
masih merasakan PH masih perlukan khidmat Anwar bersama kepimpinan PH yang
sedia ada.
"Jujurnya, saya juga
merasai bahawa jika kita semua pihak benar-benar jujur, kita juga perlu
bersikap adil tentang pelbagai bentuk ketidakadilan yang mungkin tidak disedari
juga banyak kali dilakukan ke atas Anwar," katanya.