Sepanjang seminggu lebih berkempen di negeri Melaka memberi dukungan kepada calon-calon Harapan, saya saksikan pelbagai nilai-nilai penting yang mengikat hubungan antara rakyat pelbagai kaum.
Antara yang amat mengesankan saya adalah sikap tegas mereka yang mahukan sebuah kerajaan yang patuh pada etika kebertanggungjawaban yang tinggi, yang hormat akan pilihan dan hak rakyat serta yang mampu memperkasa elemen kebersamaan antara kaum dan agama.
Faktor utama yang menjadi tonggak kepada nilai-nilai ini semestinya kestabilan tanpa kacau bilau politik yang mampu menyentak negeri dari kemakmuran pembangunan dan ekonomi.
Harapan menawar dan menjanjikannya serta yakin negeri ini banyak keupayaan yang mampu ditambahbaik dan disemarakkan demi kesejahteraan negeri dan rakyat.
Tidak boleh sekiranya sekali lagi negeri ini dihadapkan ke kancah intrik yang tidak berkesudahan yang akhirnya akan memangsakan warga Melaka terutamanya.
Calon-calon yang kita tampilkan tidak kurang hebat dengan kombinasi tokoh-tokoh yang berpengalaman dan yang mengangkat suara dan nurani anak muda.
Dengan penuh rendah diri saya merayu kepada seluruh rakyat di negeri Melaka untuk memilih Harapan esok sebagai usaha dan upaya kita memperteguh hasrat dan kepentingan semua.
Jaga diri, dan semoga kita bertemu lagi di kesempatan lain dan selamat mengundi!
ANWAR IBRAHIM
Pengerusi PH/Presiden PKR