PRN Melaka paling mencabar, minta kawan-kawan sebarkan bahan kempen - Sim

 


Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan medan perjuangan demokrasi yang paling mencabar dalam sejarah Malaysia.


Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin, peraturan berkempen yang terlampau ketat kali ini sedangkan pengundi Melaka telah bebas untuk pergi ke mana sahaja di negeri itu menyulitkan usaha Pakatan Harapan (PH) menyampaikan tawaran kepada rakyat.


"PRN Melaka ini amat mencabar bagi semua parti politik tidak kira kerajaan atau pembangkang.


"Terutama parti pembangkang. Kita tidak punya radio, televisyen atau media rasmi untik sampaikan mesej kepada pengudi


"SOP tidak boleh ada ceramah umum atau kelompok. PH selalu buat ceramah sampaikan mesej. Beri salam rumah ke rumah juga tidak boleh. Hanya boleh hantar risalah, kalau ada orang keluar kita perlu berundur. Tidak boleh bersalaman dan sebagainya," katanya dalam rancangan bual bicara terbitan studio KEADILAN, malam tadi.


Ahli Parlimen Bayan Baru itu juga tidak berpuas hati terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang tidak membenarkan calon-calon PH menggunakan media arus perdana untuk berkempen, sebagaimana negara-negara lain yang melaksanakan pilihan raya ketika pandemik.


"Jadi rakyat sekarang nampak kerajaan takut kalah. Mereka tidak masuk gelanggang secara sama rata. Mereka (kerajaan) boleh masuk tv, suratkhabar tetapi pembangkang disenyapkan.


"Kita harap pengundi yang celik teknologi maklumat hantar kepada kawan-kawan melalui media sosial. Kami menyeru kawan-kawan bantulah kami sampaikan mesej," katanya.


Ditanya sama ada media sosial boleh digunakan secara efisien dalam PRN kali ini, Sim berkata, media sosial hanya berkesan di kerusi dalam bandar, sebaliknya di kampung-kampung akses internet terbatas.


"Kita kena faham di Melaka, bandar dan luar bandar lain. Di kawasan saya pergi, di pekan Lendu ada internet, tetapi 5 minit sahaja di luar pekan tak ada internet.


"Ada kawan-kawan yang punya media sosial kita mohon mereka bantu beritahu kawan-kawan lain untuk tolong keluar mengundi dan undi PH," katanya.


Mengenai parti lawan di Melaka, khususnya Umno yang masih memainkan isu perkauman, jelas Sim, sifat berkempen Umno tidak lari daripada perkauman terutama di kawasan pengundi Melayu. Namun orang Melayu, katanya, perlu melihat era kegemilangan Kesultanan Melaka yang pada ketika itu menerima pelbagai kaum di negeri berkenaan.


"Kita ambil contoh Kesultanan Melaka, dia terbuka. Buka untuk semua orang datang, contohnya menerima peniaga dari India, China, kepuluan Melayu sehingga orang Eropah boleh berniaga di Melaka.


"Hal ini menjadikan Kesutanan Melaka begitu gemilang dan pelabuhan Melaka menjadi pelabuhan entreport terbesar di dunia. Bila berlaku urustadbir tidak baik pada hujung kesultanan, ada si Kitol ada pegolakan dalaman maka kerajaan jadi lemah. Akhirnya orang Portugis senang untuk menakluki Melaka.


"Pengajarannya, kalau kita nak Melaka hebat kita kena terbuka, tidak boleh mainkan isu perkauman. Kalau kita ada kerajaan yang baik dan menerima pelbagai pendapat maka kerajaan itu kuat. Kalau berlaku perpecahan dalaman, maka masalah itu menyebabkan kerajaan lemah dan boleh jatuh," katanya.


Sim turut memberi komen mengenai calon muda yang diturunkan PH. Katanya, suara-suara sumbang mengatakan calon muda tidak layak untuk memimpin adalah tidak tepat.


Jelasnya, PH bukan berekperimen dalam menurunkan mereka tetapi melihat kewibawaan dan ketrampilan, meskipun pengalaman agak sedikit kurang.


"Kalau tengok calon kita Farzana Hayani Nasir (DUN Sungai Rambai) dia masih mahasiswa. Ini tokoh anak muda yang kita ada, berkaliber, punya idealisme. Sejak umur 16 dia telah berjuang.


"Ayahnya seorang aktivis sejak zaman reformasi. Walau pun umur 21 tetapi dia telah matang. Saya nampak masa depan beliau yang hebat. Beliau boleh fasih dalam tiga bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. Ini adalah tokoh masa hadapan bagi negara kita," katanya lagi.