Pilihlah PH, hentikan penyelewengan, perebutan kuasa PN - BN

 untitled image


Penyelewengan dan perebutan kuasa antara BN dan PN perlu dihentikan serta merta melalui Pilihan Raya Negeri Melaka esok dengan rakyat memilih Pakatan Harapan (PH).


Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat di bawah amat resah dengan pilihan raya yang tidak perlu dan pemimpin yang terus menerus melakukan penyelewengan biar pun pernah tewas dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.


"Kami faham mengapa kadang-kadang dalam pertemuan saya di Lendu, Paya Rumput dan sebagainya orang rasa gelisah mengapa pilihan raya diadakan. Ia diadakan kerana kerajaan pimpinan Umno tidak menghormati semangat rakyat, mandat rakyat dan memaksa pilihan raya.


"Ada pengajaran dari ini semua, di bawah pemerintahan Umno dan Bersatu, kerajaan Melayu. Ada parti Melayu bersatu, Melayu kebangsaan, ada parti Islam tetapi jumlah perjudian bertambah.


"Kemudian kalau kita lihat beberapa penyelewengan berterusan tanpa kawalan. Kita lihat semalam anugerah khas kepada Najib. Siapa yang lulus? Umno, Bersatu, Pas. Kemudian datang di Melaka kata tidak bertanggungjawab. Tidak semua bertanggungjawab.


"Rakyat nak dapat RM100 sebagai nelayan, peneroka Felda, pekerja, rumit sekali. Bila rakyat bersuara, bangkit dengan suara lantang, apa berlaku? Najib kata dia tarik balik. Dia yang pohon dan dilulus jemaah menteri, sekarang dia terpaksa tolak kerana suara dan kebangkitan rakyat," katanya.


Sehubungan itu, Presiden KEADILAN itu mahu rakyat Melaka memberi sekali lagi peluang kepada Adly Zahari untuk menjadi Ketua Menteri terbaik bagi memulakan perubahan ke seluruh negara mengutamakan urustadbir baik, adil dan telus.


"Oleh yang demikian beri peluang kita tonjolkan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri kita yang mempunyai sahsiah mampu memimpin. Kita tonjolkan KEADILAN, Amanah dan DAP sebagai satu pasukan padu. Berbeza dengan BN dan PN. Bayangkan bagaimana mereka nak perintah?


"Berilah kesempatan kita pulih kekuatan di Melaka. Saya cuma ingin gesa malam ini dan esok rakan rakan dari luar pulang mengundi.

"Jangan kita gadai masa depan kerana rasa resah satu dua perkara remeh. Ini masa rakyat menentukan. Datanglah mengundi, pilihlah calon yang kita yakin mampu membela kita," katanya lagi