PH tawar politik stabil, kemajuan berterusan buat rakyat Melaka
Pakatan Harapan (PH) turun ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menawarkan kestabilan politik dan kerajaan yang bersih.
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat seharusnya memberi keyakinan kepada PH untuk diberi semula mandat sebagai Kerajaan Negeri pada hari pengundian 20 November ini bagi meneruskan pembangunan yang tergendala akibat pengkhianatan pada Mac 2020 lalu.
Katanya, PH muncul mampu memberikan kestabilan politik yang perlu untuk menjamin kemajuan ekonomi Melaka seterusnya.
“Kita syukur kerana kita bertanding dalam satu pasukan dan ini tidak berlaku dalam parti Kerajaan Persekutuan dan sekarang ini bekas kerajaan negeri.
“Ini kekuatan yang cukup munasabah untuk meyakinkan rakyat, kalau mahu politik yang stabil dia hanya boleh diberikan oleh PH.
“Politik yang stabil itu bukan untuk mengizinkan cara salah guna kuasa tetapi seperti dilakukan di bawah Adly (Zahari) selaku Ketua Menteri, prestasi itu dapat kita cerakin, senarai dan sebarkan kepada rakyat apa yang mampu dilakukan tertakluk kepada tatakelola kerajaan yang baik.
“Ini ikrar kita yang kita luahkan dan akan disampaikan dalam manifesto PH dalam masa yang singkat,” katanya dalam sidang media mengumumkan calon PRN Melaka bagi KEADILAN dan Amanah, sebentar tadi.
Menurut beliau kelebihan itu akan digunakan untuk mengempur lawan. Bagaimanapun PRN dalam keadaan SOP yang menyukarkan, menurut Anwar tidak sepatutnya melunturkan daya juang jentera PH untuk menyelamatkan Melaka daripada jatub ke tangan ahli politik korup.
“Kita dapat mengadakan majlis dalam keadaan terbatas. Namun dengan kekangan ini tidak melunturkan semangat kita untuk menyelamatkan negeri Melaka dari kerakusan kuasa dan mengembalikan mandat yang pernah diberikan kepada kita dengan satu prestasi yang membanggakan .
“Kita telah menyediakan jentera yang munasabah dari DAP, Amanah dan KEADILAN. Kita sepakat untuk melancarkan serangan dalam PRN kali ini sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar mengumumkan calon-calon KEADILAN sebagaimana dipersetujui oleh Majlis Presiden PH.
KEADILAN bertanding di 11 DUN