Pertembungan 6 penjuru, Idris ‘serah pada Allah’

 

Bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang mewakili Pakatan Harapan (PH) akan berdepan saingan enam penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Calon bebas Mohd Akhir Ayob, yang juga veteran tentera, merupakan yang pertama tiba pada 8.10 pagi, diikuti Idris pada 8.33 pagi dengan berpakaian baju Melayu jingga bersama pencadang dan penyokongnya.

“Serah kepada Allah,” kata calon Pakatan Harapan (PH) itu ringkas ketika ditanya pemberita mengenai perasaannya pagi ini.

Pertembungan 6 penjuru, Idris 'serah pada Allah'

Idris Haron

Calon Barisan Nasional (BN), Ketua Pemuda Umno Melaka Fairul Nizam Roslan, tiba tidak lama selepas itu.

Dhanesh Basil calon daripada Gerakan, mewakili PN tiba pada 9 pagi.

Dua lagi calon bebas, Azmar Abdul Hamid dan Muhammad Noor Salleh, masing-masing tiba pada 9.10 pagi dan 9.15 pagi.

Idris menolak spekulasi mengenai pilihan calon Ketua Menteri dan mengatakan masa depan rakyat Melaka lebih penting daripada perkara itu.

“Idris Haron tidak penting. Individu lain juga tidak penting,” katanya.

Beliau berkata, apa yang PH mahukan ialah menawarkan persekitaran politik bersih yang menjadi tanggungjawab.

Ini kali pertama Idris berkempen menentang BN dan Umno selepas menjadi ahli parti itu lebih 30 tahun.

Beliau dipecat daripada Umno bulan lalu selepas menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan BN.

Dalam sidang media selepas itu, Idris berkata jumlah calon bertanding yang ramai menunjukkan demokrasi yang baik dan hidup di DUN Asahan.

Selepas berkhidmat dua penggal sebagai ADUN Sungai Udang, ini kali pertama Idris bertanding di kawasan lain.

Pada pilihan raya umum 2018, DUN Asahan dimenangi calon Umno Abdul Ghafar Atan dengan majoriti tipis 275 undi terhadap calon Bersatu Zamzuri Arifin.